PIHAK polis sedang mengesan dua wanita dan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam dua video berasingan mempersendakan Orang Kurang Upaya (OKU), yang tular di media sosial baru-baru ini. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata ia susulan laporan polis dibuat berhubung tindakan empat individu dalam video itu, yang juga didakwa telah menyalahgunakan kemudahan OKU. Beliau berkata, video pertama membabitkan dua lelaki yang berlagak sebagai OKU di tempat letak kereta OKU di sebuah pusat beli-belah di ibu negara. ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda dalam video berlakon cacat bersuara, mohon maaf gagal sampaikan mesej sebenar... mahu jumpa Ras Adiba "Suspek didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya memarkir kenderaan mereka di tempat letak kereta OKU dan menggunakan bahasa kasar serta tidak sopan. "Satu lagi video menunjukkan dua wanita menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak. Mereka juga mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa," katanya dalam kenyataan pada Khamis. Ujarnya, pengadu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana beranggapan semua individu itu menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan dan menggunakan warga OKU sebagai bahan menarik perhatian pengguna di media sosial. "Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar. "Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian. "Tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI