suria

Polis, Mara siasat video buli pelajar sekolah didakwa berlaku di Perak

Beberapa pelajar menumbuk seorang pelajar, dipercayai berlaku di sebuah asrama. sumber Facebook

POLIS akan menjalankan siasatan lanjut berhubung rakaman video kejadian buli membabitkan pelajar dipercayai dari sebuah sekolah di negeri tersebut yang tular di media sosial, pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar untuk menyiasat perkara itu termasuk kesahihan dakwaan kejadian itu berlaku di negeri berkenaan.

"Saya baru terima video tular itu pagi ini dan telah mengarahkan polis Kuala Kangsar untuk menjalankan siasatan bagi mengetahui bila kejadian buli itu berlaku.

"Saya baca komen (tular) ada yang kata kejadian itu berlaku di Kuala Kangsar, tetapi belum pasti sama ada betul kejadian itu berlaku di sana, mungkin di tempat lain. Jadi biar kami siasat dulu dan dapatkan kesahihan," katanya ketika ditemui dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kampar dan Pengerusi PERKEP Daerah Kampar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, pada Jumaat.

Menurutnya, berdasarkan video yang dikongsi itu, memang nampak berlaku kejadian buli apabila mangsa ditumbuk di bahagian perut.

"Polis akan kongsi maklumat lanjut kejadian itu selepas siasatan dilakukan.

"Kadang-kadang kejadian berlaku sudah lama, tetapi tular semula. Saya belum dapat beri pengesahan, biar kami siasat dan dapat kesahihan dahulu," katanya.

Video berdurasi 10 saat itu tular di media sosial menunjukkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain di percayai dalam asrama.

Video berkenaan tular di Twitter dan mendapat perhatian warganet dengan tontonan sebanyak 528,000 serta lebih kurang 30,000 perkongsian.

Sementara itu Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyatakan komitmen untuk menyiasat dakwaan bahawa kejadian terbabit melibatkan pelajar di salah sebuah institusi pendidikannya.

Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, tindakan akan segera diambil terhadap pelaku berikutan budaya itu tidak sewajarnya wujud dalam kalangan pelajar.

"Saya terkejut melihat video ini kerana ia merupakan budaya yang tidak sihat dalam kalangan pelajar sekolah dan pastinya kita semua tidak mahu ia berulang.

"Kami akan menyiasat kesahihan rakaman video tular tersebut dan pasti akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat. Perkara ini tidak sewajarnya dijadikan sebagai satu budaya kerana pelajar-pelajar ini masih di bawah umur dan masa depan mereka perlu dilindungi," katanya - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

buli, tular, polis perak, mara

Artikel Berikut

Artikel Lain