suria

Wakil rakyat bawa ayam ditegur, Speaker DUN Perak harap selepas ini tiada yang bawa kambing, lembu pula

Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad membuat kejutan dengan membawa ayam segar ketika sidang DUN Perak pada Selasa. Foto: Bernama

SELEPAS kecoh insiden Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang membawa ayam segar ketika persidangan DUN Perak di Ipoh semalam, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Mohammad Zahir Abdul Khalid pada Rabu membuat teguran agar perkara sama tidak berulang.

"Saya ingin menegaskan perkara yang berlaku ketika sesi perbahasan persidangan semalam sewajarnya tidak lagi berulang.

"Saya harap tidak ada pula hendak membawa kambing atau lembu hari ini ya," katanya.

Mohammad Zahir juga meminta pihak keselamatan melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barangan yang dibawa masuk ke dalam dewan negeri termasuk beg dan bungkusan.

Semalam, sidang DUN Perak dikejutkan dengan tindakan Adun daripada PKR itu yang bertindak membawa ayam segar ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022.

Adun itu berbuat demikian sebagai gimik susulan kenaikan harga ayam pada ketika ini yang seolah-olah tiada tindakan serius daripada pihak berkaitan.

"Saya nak hadiahkan ayam ini sebab tak ada tindakan yang diambil oleh Exco. Saya nak tanya, ada tak dialog diadakan bersama peruncit, pengusaha dan pemborong untuk melihat di mana masalah sebenar kenaikan harga ini?

"Apa peranan Exco, adakah ada tindakan diambil? Saya harap Exco kerajaan negeri diharap agar memahami keperitan rakyat akibat kenaikan harga barangan," katanya merujuk kepada Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain