suria

Covid-19: Kes ke-2 Omicron libatkan budak perempuan tiba dari Nigeria

Satu lagi kes Covid-19 membabitkan varian Omicron dikesan di Malaysia. Foto: Bernama

MALAYSIA mencatatkan satu lagi kes Covid-19 membabitkan varian baharu Omicron pada 14 Disember lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes baharu itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warga Malaysia berusia lapan tahun yang menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes varian Omicron yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak dua kes setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia

"Keputusan ujian RT-PCR Covid-19 ke atas kes sebelum berlepas adalah negatif.

"Kes tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember 2021 dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.

"Kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA).

"Mereka diberi perintah pengawasan dan pemerhatian di bawah Seksyen 15 Akta 342 dan diarah menjalani kuarantin wajib di rumah.

"Keputusan ujian semasa ketibaan didapati positif Covid-19 pada 7 Disember," ujarnya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Menurut Khairy, kes tidak menjalani gejala dan diarahkan menjalani isolasi selama 14 hari.

Sementara itu ujarnya, kontak rapat yang terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman juga menjalani ujian.

"Semua ujian yang dijalankan, iaitu sebelum berlepas, semasa ketibaan, pada hari ke-5 dan hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif.

"Ujian RT-PCR bagi pemandu teksi sedang dijalankan. Ketiga-tiganya tidak bergejala dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari," katanya lagi.

Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan yang tiba di tanah air pada 12 Disember lalu kini sedang menjalani kuarantin di pusat kuarantin swasta di mana ujian yang dijalankan pada hari ketibaannya turut menunjukkan keputusan negatif.

Manakala seramai 35 kontak dalam penerbangan juga menunjukkan keputusan negatif terhadap ujian yang dilakukan semasa ketibaan dan hari kelima.

Tambah Khairy lagi, pemantauan kes dan kontak yang dikenalpasti dilaksana secara menyeuluruh dari semasa ke semasa

"Pihak KKM, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah sedang meneruskan siasatan lanjut. Buat masa ini punca jangkitan kes masih dalam siasatan

"Oleh yang demikian, Nigeria termasuk dalam senarai negara berisiko tinggi," kata beliau.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain