suria

Tragedi bot karam: 7 lagi mayat warga Indonesia ditemui, 28 masih hilang

Operasi carilamat bagi hari kedua menemui tujuh lagi mayat warga Indonesia yang lemas. Foto: Sinar Harian

TUJUH lagi mayat mangsa lemas ditemui dalam operasi carilamat insiden bot karam melibatkan warga Indonesia di Tanjung Balau, Kota Tinggi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Negeri Johor, Kapten Maritim, Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, operasi bagi hari kedua selepas kejadian pada Rabu itu menjadikan jumlah mangsa maut kini 18 orang dengan 28 lagi masih dilaporkan hilang.

Katanya, setakat ini jantina tujuh mangsa maut yang ditemui itu adalah membabitkan lima lelaki dan dua wanita dewasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuaca buruk, bot bawa 60 Pati karam di Tanjung Balau... 10 mayat ditemui

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Bot karam: Bingkai gambar, sejadah terdampar di tepi pantai

"Op carilamat ini melibatkan keluasan sejauh 147 batu nautika di sekitar perairan Tanjung Balau dengan kekuatan aset Kapal Maritim (KM) TEGAS dan bot PETIR 50 Maritim Malaysia serta aset-aset daripada agensi lain.

"Pencarian sektor udara pula adalah seluas 76.5 batu nautika dengan menggunakan sebuah pesawat udara AW139 Maritim Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan sebuah bot pancung yang membawa 60 pendatang asing tanpa izin (Pati) karam akibat cuaca buruk pada jam 4.30 pagi, pada Rabu.

Difahamkan, bot tersebut dari Lombok, Indonesia.

Seramai 11 mayat ditemui pada hari pertama operasi carilamat, selain 14 daripadanya ditemui masih hidup.

Simon Templer berkata, operasi carilamat juga akan diteruskan dengan membabitkan seramai 133 petugas terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Untuk hari ini (Khamis) keadaan cuaca diramalkan hujan lebat beserta ribut petir dengan keadaan laut yang bergelora.

"Kita juga memohon dan sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim di kawasan ini untuk terus melaporkan sebarang makluman atau berlakunya kecemasan di laut," katanya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain