suria

Pencapaian 100 hari: Kerajaan komited basmi miskin tegar, tambah baik punca pendapatan - Tok Pa

Kerajaan komited membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, di samping memulihkan dan memastikan kemampanan ekonomi, kata Mustapa.

PANDEMIK Covid-19, terutamanya disebabkan oleh varian Delta dan Omicron, telah menjejaskan hampir semua unjuran ekonomi dan momentum positif di seluruh dunia untuk 2021, walaupun ia digelar sebagai tahun pemulihan.

Kerajaan, atau mana-mana kerajaan dalam hal itu, mempunyai beban yang tidak menyenangkan untuk memacu ekonomi kembali ke landasannya, terutama ketika krisis yang nampaknya tidak berganjak.

Menjadi figura berpengalaman dalam politik dan pentadbiran awam Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berpendapat bahawa beliau menyedarinya apabila ia melibatkan krisis ekonomi, sehingga Covid-19 melanda, yang disifatkannya sebagai krisis kesihatan bertukar menjadi krisis ekonomi yang menyeluruh.

Dikenali sebagai Tok Pa, ahli politik dan menteri berpengalaman itu baru sahaja mencapai kejayaan 100 hari dalam kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di mana sasaran utama telah dilaksanakan.

Pada 9 Disember, Ismail Sabri mengumumkan bahawa prestasi keseluruhan Kabinet dalam kad laporan 100 hari mencapai 90 peratus.

Sebanyak 31 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dikehendaki mencapai sasaran mereka, berdasarkan penilaian prestasi, kepimpinan dan persepsi awam.

Prestasi 100 hari itu dipantau bersama oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) antara 1 September dan 9 Disember.

Menerusi wawancara secara emel bersama The Star, Tok Pa bercakap mengenai kad laporan 100 hari beliau dan usaha kerajaan dalam memulihkan dan memastikan kemampanan ekonomi dan komitmennya dalam membasmi kemiskinan di Malaysia.

kemiskinan tegar foto AZHAR MAHFOF

Menangani isu kemiskinan tegar di negara ini. -gambar hiasan / foto AZHAR MAHFOF/The Star

SOALAN 1: Tahniah Datuk Seri kerana berjaya mencapai kejayaan 100 hari memegang jawatan Kabinet di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri. Bagaimana pencapaiannya setakat ini? Bolehkah Datuk Seri berkongsi mengenai pencapaian dan prestasi keseluruhan Datuk Seri sepanjang tempoh tersebut?

Terima kasih atas penghargaan. Kebanyakan rakyat Malaysia bersyukur apabila menteri-menteri Kabinet memenuhi sasaran perdana menteri dalam mencapai tahap 90 peratus KPI 100 hari.

Sudah tentu terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan penilaian ini, tapi saya percaya mereka adalah minoriti.

Kerajaan dinilai dengan tepat berdasarkan sejauh mana kita melindungi nyawa daripada Covid-19 dan mewujudkan keadaan yang diperlukan untuk pemulihan ekonomi.

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia merupakan inisiatif penting daripada perdana menteri.

Kad laporan 100 hari memastikan kami menteri Kabinet sentiasa bersedia, untuk melakukan tugas dengan baik bagi membantu rakyat dalam tempoh yang sangat sukar ini.

Daripada banyak inisiatif dasar yang saya ketuai di Unit Perancang Ekonomi (EPU), paling penting bagi saya ialah penggubalan strategi baharu untuk membasmi kemiskinan tegar.

Kita akan melaksanakan pendekatan yang lebih berkesan dan holistik untuk membasmi kemiskinan tegar.

Tiga bulan lalu, saya menubuhkan 'Poverty Circle' (unit kemiskinan) yang dianggotai kumpulan perbincangan meja bulat antara kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), badan-badan korporat, ahli akademik dan individu-indvidu disegani untuk berkongsi amalan terbaik dalam menangani kemiskinan.

Setakat ini, sebanyak enam sesi Poverty Circle telah dijalankan. Matlamatnya adalah untuk mengubah semua input yang diperoleh daripada Poverty Circle kepada dasar kemiskinan negara.

Selain pendekatan yang lebih holistik untuk membasmi kemiskinan tegar, pencapaian 100 Hari saya termasuk menyatukan pelaksanaan Pelan Pemulihan Felda dan memuktamadkan mekanisme pemantauan yang mantap untuk memastikan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dicapai.

Sudah tentu, ini hanya permulaan. Tidak mungkin untuk melakukan semuanya dalam 100 hari.

Kita akan terus berusaha keras untuk mencapai KPI jangka sederhana dan panjang masing-masing untuk memastikan pemulihan ekonomi mengumpul momentum yang lebih besar dan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

punca pendapatan RONNIE CHIN

Memastikan kesejahteraan rakyat dengan menambah baik punca pendapatan. - Gambar hiasan / foto RONNIE CHIN/The Star

Sebagai menteri berpengalaman, apakah beza dan cabaran Datuk Seri sebagai menteri ketika menghadapi cabaran ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini, berbanding pengalaman Datuk Seri selama bertahun-tahun dalam kerajaan dan sewaktu Krisis Kewangan Asia (AFC) dan Krisis Kewangan Global (GFC)?

Banyak perubahan sejak saya mula-mula menjadi menteri Kabinet pada 1995. Hari ini, dunia lebih dinamik dengan media sosial yang memainkan peranan besar dalam membentuk pendapat umum.

Politik Malaysia jauh lebih rumit. Hari ini, semuanya sukar untuk dijangka.

Pada 90-an, sebahagian daripada kami yang berpengalaman menyifatkannya zaman ketika itu cukup indah, mentadbir negara atau kementerian jauh lebih mudah.

Walaupun dalam tempoh paling mencabar pada masa itu ketika Krisis Kewangan Asia 1997-1998, kita mempunyai kerajaan yang kukuh dan persekitaran geopolitik yang stabil. Perkara sama boleh dikatakan untuk Krisis Kewangan Global pada 2008.

Keadaan semasa kita jauh lebih rumit. Bermula dari krisis kesihatan tidak lama kemudian bertukar menjadi krisis ekonomi sepenuhnya apabila prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan dengan negara melalui dua pusingan 'lockdown' penuh untuk membantu kita berdepan dengan peningkatan jumlah jangkitan.

Krisis semasa tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kesannya terhadap setiap sektor ekonomi Malaysia. Ia mengambil lapan pakej rangsangan beserta langkah-langkah dalam Bajet 2021 dan 2022 untuk menangani krisis semasa.

Adakah kerajaan prihatin terhadap 600,000 keluarga beralih dari kumpulan M40 ke kumpulan B40 atau ia hanya sementara disebabkan oleh Covid-19? Apakah rancangan untuk membasmi kemiskinan tegar?

Ya sudah tentu, kerajaan amat mengambil berat terhadap setiap rakyat Malaysia. Pada 2020, pandemik menyebabkan penurunan dalam pendapatan isi rumah, dengan purata gaji menyusut sebanyak sembilan peratus pada 2020, menurun buat kali pertama sejak 2010.

Kira-kira 600,000 keluarga beralih ke kategori B40. Kadar pengangguran melonjak ke paras tertinggi sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020.

Walau bagaimanapun, beberapa petunjuk ekonomi menunjukkan ke arah pemulihan pada suku keempat tahun ini. Pada pandangan kita, pendapatan kebanyakan isi rumah akan dipulihkan ke tahap sebelum Covid-19 pada suku kedua tahun depan.

Malaysia adalah sebuah ekonomi yang sangat terbuka. Dengan nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) purata melebihi 130 peratus sejak 10 tahun lalu, kita seharusnya terus memanfaatkan perdagangan dan pelaburan untuk mewujudkan pekerjaan berkualiti demi rakyat.

Menarik pelaburan yang berkualiti akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi, yang dibayar lebih tinggi daripada gaji minimum.

Kita akan mula melaksanakan pendekatan yang lebih tertumpu dan bersasar untuk membasmi kemiskinan, menjelang pertengahan 2022. Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri akan menyelaras semua program membasmi kemiskinan.

Awal tahun ini, Presiden Xi Jinping mengisytiharkan bahawa China telah membasmi kemiskinan. Indonesia berazam untuk melakukan perkara sama menjelang 2024. Tiada sebab mengapa kita tidak boleh membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025.

Meningkatkan taraf hidup kumpulan B40 menjadi tumpuan dasar kerajaan. Kerajaan memahami cabaran yang dihadapi oleh isi rumah.

Justeru, melalui RMK-12, keusahawanan, penciptaan peluang perniagaan dan pembiayaan akan dipertingkatkan lagi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah B40.

Mustapa Mohamed LOW BOON TAT

Mustapa Mohamed. foto LOW BOON TAT/The Star

Bajet 2022 dengan jumlah peruntukan RM332.1 bilion merupakan yang terbesar bagi Malaysia dan pastinya penting untuk memulihkan ekonomi negara. Apakah pendapat Datuk Seri?

Benar, Bajet 2022 merupakan yang terbesar dalam sejarah negara. Pelbagai program dan projek pembangunan yang dibangunkan perlu dilaksanakan dengan cekap, memastikan setiap ringgit dan sen dibelanjakan dengan bijak.

Kita terpaksa meminjam lebih banyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana kekurangan kutipan hasil dan keperluan untuk melindungi nyawa dan punca pendapatan. Bajet 2022 adalah pengembangan dan itulah dasar yang sesuai untuk diteruskan.

Terus melangkah ke hadapan, kita perlu mengatur keadaan fiskal negara secara berperingkat supaya menjelang akhir tahun 2025, defisit fiskal akan diturunkan kepada 3.5 peratus berbanding 6.5 peratus tahun ini. Dalam jangka sederhana hingga panjang, kemampanan fiskal adalah penting dan ini memerlukan pengembangan hasil asas kita.

Bajet 2022 diselaraskan dengan RMK-12 dan berteraskan tiga teras utama iaitu, memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan. Bagi tujuan ini, mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan daya saing adalah penting.

Sektor swasta perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam pembangunan Malaysia. Bagi memudahkan pertumbuhan sektor swasta, kerajaan komited untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi merangsang pelaburan swasta, dalam dan luar negara.

Apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk menetapkan semula dan menyusun semula objektif pertumbuhan jangka panjang berikutan terjejas akibat pandemik dan perubahan kepada perkembangan ekonomi?

Walaupun memburukkan keadaan, pandemik telah membuka peluang baharu kepada kerajaan untuk meneruskan pembaharuan yang amat diperlukan bagi menggiatkan semula dan mengukuhkan ekonomi Malaysia.

Covid-19 telah mendedahkan beberapa isu struktur dalam ekonomi Malaysia yang perlu ditangani untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia. Sebagai contoh, kita tidak boleh melepaskan peluang untuk menggubal pembaharuan pasaran buruh dan menambah baik dalam pembangunan modal insan.

Selain itu, terdapat juga keperluan untuk memastikan bahawa kita meningkatkan usaha untuk memperluaskan penggunaan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir urus (ESG).

Sejumlah syarikat di negara ini tertakluk kepada Perintah Tahan Pelepasan (WRO) oleh pihak berkuasa AS. Sebagai sebuah negara perdagangan yang besar, kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menggalakkan syarikat kita mengguna pakai prinsip ESG.

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kekal sebagai saluran terbaik untuk membina tenaga kerja berkemahiran yang bersesuaian untuk memenuhi permintaan industri.

Kerajaan akan melaksanakan dasar untuk menjadikan TVET sebagai laluan kerjaya yang menarik untuk golongan muda.

Kita juga perlu memberi keutamaan lebih tinggi kepada pembangunan PKS. Secara kaitannya, kemahiran digital dapat membantu merealisasikan potensi PKS dan memaksimumkan sumbangan mereka kepada ekonomi.

Pada masa ini, PKS hanya menyumbang 38.2 peratus kepada KDNK meskipun membentuk 97.2 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan.

pekerja asing foto AZHAR MAHFOF

Kebergantungan terhadap pekerja asing di Malaysia. -gambar hiasan / foto AZHAR MAHFOF/The Star

Kebergantungan Malaysia yang berlebihan terhadap buruh asing dan kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi sentiasa menjadi kebimbangan penggubal dasar. Implikasinya amat besar, daripada menyekat kemajuan teknologi Malaysia, peralihan kita kepada negara berpendapatan tinggi dan juga implikasi sosial. Bagaimana kita menangani isu pekerja asing di Malaysia?

Kebergantungan berlebihan terhadap pekerja asing menjadi isu yang melanda negara selama lebih 20 tahun. Oleh itu, adalah penting untuk kita membuat keputusan yang berani untuk menangani perkara ini.

Negara-negara seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura semuanya mempunyai kadar buruh asing yang tinggi berbanding jumlah tenaga kerja tetapi tidak menghadapi isu yang sama seperti yang kita hadapi.

Kita memerlukan mekanisme penguatkuasaan dan pengesanan yang kuat untuk menjejaki pekerja asing di negara ini bagi membendung pengambilan pekerja asing tanpa izin.

Sejak pembekuan dalam pengambilan buruh asing dilaksanakan bagi menangani wabak, bilangan pekerja asing berkurangan daripada lebih dua juta sebelum krisis kepada kini kira-kira 1.1 juta. Peratusan optimum pekerja asing sebagai bahagian daripada jumlah tenaga kerja perlu dikenal pasti.

Mengurangkan kebergantungan kita kepada buruh asing, mewujudkan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran serta mencapai kadar penggunaan teknologi tinggi, merupakan antara strategi jangka panjang kita.

Walaupun Malaysia akan terus bergantung kepada pekerja asing dalam beberapa pekerjaan dan sektor, kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk melindungi kebajikan semua pekerja, sama ada tempatan dan asing.

Penguatkuasaan lebih ketat diperlukan untuk memastikan majikan mematuhi piawaian minimum pemburuhan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang. Ia perlu dilakukan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain