SERAMAI 54,532 mangsa banjir ditempatkan di 334 pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri, kata Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Ketua Polis Negara berkata setakat 4 pagi Sabtu (25 Dis), Pahang kekal paling teruk terjejas dengan 29,108 mangsa, diikuti Selangor dengan 23,702 mangsa. "Seramai 46 mangsa terkorban dalam banjir. Selangor mencatatkan 25 kematian, diikuti Pahang 18 kematian dan Kelantan tiga," kata Acryl Sani. “Lima mangsa masih dilaporkan hilang,” katanya pada sidang media di pusat operasi banjir Taman Sri Muda pada Sabtu (25 Dis). Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) juga sedang memantau sembilan sungai di Pahang, di mana dua sungai berada pada tahap berjaga-jaga, empat pada tahap amaran dan tiga diklasifikasikan sebagai berada pada tahap berbahaya, tambahnya. “Di Selangor, tiga sungai diklasifikasikan pada tahap berjaga-jaga manakala satu pada tahap amaran manakala di Kelantan, dua sungai berada pada tahap amaran,” katanya. Diab berkata 94 pasukan JSJ terdiri daripada 377 pegawai dan anggota polis telah dikerah di seluruh negara untuk mengekang dan mencegah kecurian dan rompakan di kawasan banjir. “Kami sedang menyiasat 10 kes pecah masuk dan samun di premis serta lima kes curi kenderaan antara 17 Dis dan Jumaat (24 Dis),” katanya. Setakat ini, 68 jalan masih ditutup akibat banjir, kata Acryl Sani. “Sebanyak 46 jalan ditutup di Pahang, 14 jalan di Selangor, lima di Negeri Sembilan dan tiga di Kelantan,” katanya. Mengenai dakwaan kejadian mangsa banjir menceroboh rumah orang lain untuk berteduh, Acryl Sani berkata sekiranya kejadian itu berlaku, polis akan menyiasat berdasarkan laporan polis yang dibuat. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI