suria

“Saya tak sedap hati” - Annuar Musa turun padang, batal cuti tahunan

Annuar (kanan) memaklumkan sesuatu kepada A Aida (tengah) pada Program Menyantuni Mangsa Banjir.

TAN Sri Annuar Musa menghabiskan cuti tahunannya dengan membantu mangsa banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang dan Pahang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau sepatutnya bercuti bermula daripada 18 Disember 2021 hingga 12 Januari 2022.

Bagaimanapun, katanya, cuti yang telah dipohon dan diluluskan tiga bulan lalu itu tidak diteruskan susulan bencana alam yang menimpa sebahagian negeri baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Banjir: Menteri Kabinet diarah batal cuti, segera pulang ke Malaysia

"Sepatutnya 19 Disember saya dah berlepas untuk bercuti, tetapi saya rasa tak sedap hati dan membatalkan rancangan itu.

"Kejadian banjir yang berlaku membuatkan saya terus turun padang atas kapasiti peribadi untuk membantu mangsa terkesan," katanya ketika menyertai Program Menyantuni Mangsa Banjir anjuran A Aida Production Sdn Bhd di sekitar Janda Baik, Pahang, pada Sabtu.

Mengenai arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menteri menamatkan cuti mereka, Annuar berkata, tindakan itu boleh diambil tanpa menunggu arahan pemimpin nombor satu negara itu.

Tambah Ahli Parlimen Ketereh itu, ketika ini, seramai lapan menteri Kabinet yang cuti mereka telah diluluskan termasuk dirinya.

annuar musa a aida 2

Annuar (hadapan, tengah) dan A Aida (hadapan, kanan) mendengar penerangan daripada anggota APM.

Jelasnya lagi, sepanjang tempoh bercuti, tugas setiap anggota Kabinet perlu diambil alih menteri lain.

"Saya sendiri diganti oleh Datuk Seri Shahidan Kassim," katanya sambil menambah tidak salah untuk menteri Kabinet bercuti.

Kata Annuar, mesyuarat Kabinet minggu depan akan memberi tumpuan kepada aspek pemulihan bencana banjir, selain meningkatkan koordinasi operasi bantuan kepada mangsa.

Terdahulu, Program Menyantuni Mangsa Banjir anjuran A Aida Production Sdn Bhd turut dihadiri penerbit, Datuk A Aida bagi membantu 33 keluarga yang terjejas akibat banjir.

Menerusi kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), program turut disertai rakan-rakan artis dan orang perseorangan.

Warga kerja mStar yang turut serta dalam program tersebut mendengar keluhan mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat bencana itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain