suria

Ajal di padang bola... Lelaki alami sesak nafas ketika berehat separuh masa pertama

Mangsa rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Selising. Foto: Sinar Harian

HANYA sempat bermain bola sepak untuk separuh masa pertama, seorang lelaki menghembuskan nafas terakhir ketika berehat sebentar sewaktu perlawanan persahabatan yang disertainya di padang Selising, Pasir Puteh, petang Isnin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, lelaki berusia 53 tahun dari Kok Lanas itu duduk berehat sambil minum air dan makan sepotong pisang goreng.

Bagaimanapun, dia dipercayai mengalami sesak nafas dan rebah di tepi padang serta tidak sedarkan diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal, rakan-rakan mangsa membawanya ke Klinik Kesihatan Selising dan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan mengesahkan kematian mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang juga seorang buruh, pernah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum perlawanan persahabatan tersebut.

"Mangsa telah berpisah dengan isteri dan kini tinggal berseorangan serta tidak mempunyai sebarang rekod perubatan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk tindakan bedah dan siasat lanjut. Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain