SEJAK Ahad, media sosial kecoh susulan penularan video yang memperlihatkan seorang menteri wanita membersihkan sebuah sekolah di Sepang, Selangor. Di tengah-tengah kekecohan apabila ramai pelayar mempertikaikan tindakan tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memberi penjelasan untuk mengelakkan salah faham susulan penularan video berkenaan. Menurut JKM, menteri tersebut tidak keberatan untuk melakukan operasi pasca banjir di sekolah berkenaan, antaranya mencuci kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan pihak sekolah sukar dicucikan sebelum ini. ARTIKEL BERKAITAN: Tular dakwaan hanya ‘posing’, JKM perjelas Rina Harun kemas bilik darjah... cuci kesan najis unggas, cicak ARTIKEL BERKAITAN: Nama Rina Harun jadi bualan sekali lagi selepas tular video sedang bersihkan sekolah Terbaharu, perkara tersebut turut mendapat perhatian sebuah laman advokasi kesihatan, Public Health Malaysia. Menerusi hantaran di Facebook, laman itu turut menekankan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran terutama di tempat tumpuan ramai. "Persekitaran bebas dari bahan iritasi seperti najis unggas dan najis cicak sangat penting untuk kesihatan persekitaran terutama di tempat tumpuan seperti sekolah, institusi pendidikan dan tempat pemindahan mangsa banjir. "Menghirup habuk atau titisan air yang mengandungi najis burung yang tercemar boleh membawa kepada beberapa penyakit, termasuk penyakit seperti selesema yang dipanggil psittacosis. "Selain itu jangkitan Salmonella, jangkitan kuman yang boleh menyebabkan cirit-birit, mungkin juga terdapat dalam beberapa najis burung," tulisnya. Perkongsian Public Health Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook. Tambah laman itu lagi, mereka yang terkena atau membersihkan najis burung perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang jangkitan. "Basuh tangan anda dan bersihkan mana-mana kulit yang terdedah sebelum makan atau minum," tulisnya lagi. Sehingga kini posting tersebut meraih lebih daripada 1,000 perkongsian di Facebook, selain dibanjiri komen netizen yang pelbagai. Terdahulu dalam rakaman video yang tular itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dilihat sedang menggunakan penyembur air (water jet) dan menyembur kawasan simen dan longkang di kaki lima bangunan bilik darjah sebuah sekolah. Bagaimanapun, pelayar media sosial mempersoalkan tindakan berkenaan kerana mendakwa kawasan tersebut sememangnya sudah bersih dan tidak dicemari dengan lumpur banjir. JKM dalam satu kenyataan berkata, dalam operasi pasca banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Salak Tinggi, menteri itu bukan sekadar membersihkan simen tersebut, namun beliau turut melakukan kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah berkenaan. Menurut JKM, Rina turut mengemas bilik darjah, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja dan kerusi pelajar supaya keadaan kembali seperti sedia kala berikutan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI