suria

Bank Muamalat nafi cek dikembalikan kerana ‘tidak halal’

Bank Muamalat menafikan bank itu menendang cek kerana ia 'tidak halal'.

BANK Muamalat Malaysia menafikan dakwaan mengenai bank itu tidak menerima sekeping cek daripada seorang pelanggan di Seremban, pada minggu lalu kerana 'tidak halal'.

Ketua Operasi Perbankan Bank Muamalat, Muhamad Radzuan Rahman berkata, bank itu pada mulanya cek tersebut tidak diterima kerana nama penerima seperti yang tertulis tidak sama dengan yang didaftarkan dalam sistem.

"Biar saya jelaskan bahawa tidak wujud cek halal atau tidak halal.

"Kami adalah institusi kewangan berlesen yang menyediakan perkhidmatan perbankan termasuk memproses cek dan menjadi tanggungjawab kami untuk menerima sebarang cek.

"Cek berkenaan pada mulanya dikembalikan semata-mata atas sebab teknikal," katanya sambil menambah bahawa isu itu timbul disebabkan salah faham.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Chew Seh Yong dan wakil Persatuan Wah Chai di Seremban, pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Seh Yong pada Jumaat yang mempersoalkan sama ada bank tersebut menendang sekeping cek berjumlah RM1,500 daripada Persatuan Wah Chai kerana dikatakan tidak halal.

Derma tersebut untuk tujuan program pembaikan sebuah tanah perkuburan di Jalan Lee Sam.

Seh Yong kemudian berkata, wakil Wah Chai membuat dakwaan 'tidak halal' kepadanya selepas bank tersebut menendang cek tersebut.

Muhamad Radzuan berkata, seorang wakil Wah Chai telah memasukkan cek itu di mesin deposit dan tidak memaklumkan dengan mana-mana pegawai bank.

"Apabila kami terima cek tersebut, kami mahukan sedikit penjelasan mengenai tujuan derma dan sumber seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

"Ketika itulah kami mendapati bahawa nama penerima pada cek dan dalam sistem kami tidak sepadan.

"Jadi, kami telefon dan minta mereka ambil semula cek itu," katanya.

Beliau berkata, apabila Seh Yong cuba memasukkan cek itu buat kali kedua, bank itu menerima 'clearance' untuk menerimanya daripada ibu pejabatnya.

"Kesimpulannya, saya ingin katakan semua yang berlalu disebabkan salah faham. Pihak bank perlu tahu tujuan cek dan sumbernya.

"Jadi mungkin terdapat pihak yang menafsirkan keadaan itu sehingga timbul perkataan 'halal' atau 'tidak halal'.

"Selain itu, kami tidak tahu sama ada ini diucapkan atau tidak kerana kami tidak berada di sana," katanya.

Seh Yong berkata, beliau dan Persatuan Wah Chai menerima penjelasan bank tersebut dan isu berkenaan telah selesai. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain