suria

Tular dakwaan hanya ‘posing’, JKM perjelas Rina Harun kemas bilik darjah... cuci kesan najis unggas, cicak

Aksi Rina membersihkan halaman sebuah sekolah hangat diperkatakan di media sosial.

SUSULAN tular video Datuk Seri Rina Mohd Harun membersihkan sebuah sekolah di Sepang, Selangor pada Ahad, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil memberi penjelasan.

JKM dalam satu kenyataan berkata, dalam operasi pasca banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Salak Tinggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bukan sekadar membersihkan simen tersebut, namun beliau turut melakukan kerja pembersihan dan susun atur logistik lain di sekolah berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama Rina Harun jadi bualan sekali lagi selepas tular video sedang bersihkan sekolah

"JKM terpanggil untuk menjawab isu tular yang mendakwa Datuk Seri Rina hanya 'berposing' mencuci simen bersih di sebuah sekolah.

"Sebaliknya JKM sebagai jabatan yang menguruskan operasi ini memohon kesudian menteri untuk mencuci kesan najis unggas dan cicak yang dilaporkan pihak sekolah sukar dicucikan sebelum ini.

"Memandangkan peralatan 'waterjet' sedia ada di lokasi pembersihan, Datuk Seri Rina tidak menolak pelawaan JKM dan beliau melakukan kerja itu dengan dada lapang dan hati terbuka," katanya.

Bersama sukarelawan Keluarga Malaysia, menurun JKM, Rina turut mengemas bilik darjah, menyapu lantai dan tingkap bilik darjah, menyusun atur meja dan kerusi pelajar supaya keadaan kembali seperti sedia kala berikutan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

"Datuk Seri Rina turut mengemas khemah-khemah yang digunakan oleh mangsa banjir untuk simpanan bagi kegunaan akan datang," katanya.

Sehubungan itu, JKM berpandangan bahawa tidak adil untuk netizen membuat tohmahan dan memperlekehkan usaha serta pembabitan beliau dalam operasi pembersihan ini.

Menerusi satu rakaman, Rina dilihat sedang menggunakan penyembur air (water jet) sambil dikelilingi beberapa individu termasuk jurufoto yang merakam aksinya.

Bagaimanapun, pelayar media sosial mempersoalkan tindakan berkenaan kerana mendakwa kawasan tersebut sememangnya sudah bersih dan tidak dicemari dengan lumpur banjir.

Khamis lalu, nama Rina turut hangat diperkatakan selepas dia mengenakan kasut tumit tinggi ketika membuat tinjauan dan penyerahan bantuan banjir.

"Tak sangka kasut saya adalah lebih penting untuk difikirkan daripada saya berada di sana, saya minta maaf, saya berlari dari perhimpunan semata-mata ingin ke sana dan hanya sempat tukar baju serta seluar. Saya berjanji akan memperbaiki kelemahan yang ada pada diri," jelas Rina

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain