NAMA Datuk Seri Rina Mohd Harun sekali lagi menjadi perbualan ramai di media sosial. Ia susulan satu rakaman tular memaparkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sedang membersihkan sebuah sekolah di Sepang, Selangor pada Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Rina Harun sempat tukar baju, lupa hal kasut tumit tinggi Dalam rakaman tersebut, Rina dilihat sedang menggunakan penyembur air (water jet) sambil dikelilingi beberapa individu termasuk jurufoto yang merakam aksinya. Bagaimanapun, pelayar media sosial mempersoalkan tindakan berkenaan kerana mendakwa kawasan tersebut sememangnya sudah bersih dan tidak dicemari dengan lumpur banjir. Video yang dimuat naik oleh pengguna Twitter @dylawok itu sehingga kini meraih lebih setengah juta tontonan. Dalam pada itu, Rina menerusi Facebook turut berkongsi mengenai agihan bantuan yang disertainya hari ini. Selepas menyantuni mangsa banjir di Sepang, Rina meneruskan gerak kerjanya ke Gurdwara Sahib, Petaling Jaya bagi meninjau proses penyediaan serta agihan makanan dan bantuan kepada mangsa banjir. Khamis lalu, nama Rina turut hangat diperkatakan selepas dia mengenakan kasut tumit tinggi ketika membuat tinjauan dan penyerahan bantuan banjir. “Tak sangka kasut saya adalah lebih penting untuk difikirkan daripada saya berada di sana, saya minta maaf, saya berlari dari perhimpunan semata-mata ingin ke sana dan hanya sempat tukar baju serta seluar. Saya berjanji akan memperbaiki kelemahan yang ada pada diri,” jelas Rina.