SUSULAN amaran tahap waspada (kuning) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan. "Seri Paduka Baginda turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan. ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor dijangka banjir bermula 31 Disember "Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang," demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada Rabu. Tambah beliau, Al-Sultan Abdullah menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya urusan pasca banjir. Seri Paduka Baginda juga menasihati agensi-agensi kerajaan berkaitan dan PBT supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik, kata Ahmad Fadil. Beliau berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka berada di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan. "Seri Paduka Baginda turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana," katanya lagi. Terdahulu Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari depan. Susulan amaran tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut meramalkan banjir akan berlaku di empat negeri di Semenanjung Malaysia. Empat negeri tersebut merupakan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI