SUSULAN amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut meramalkan banjir akan berlaku di empat negeri di Semenanjung Malaysia. Empat negeri tersebut merupakan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. ARTIKEL BERKAITAN: 47 mangsa korban banjir, lima lagi masih hilang JPS meramalkan banjir dijangka berlaku di Kelantan bermula 31 Disember jam 8 malam di Sungai Kelantan. “Ia akan melibatkan beberapa daerah termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang. Banjir berhampiran Sungai Golok akan melibatkan daerah Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar yang berisiko,” kata JPS dalam satu kenyataan. Bagi Terengganu, banjir dijangka bermula pada 31 Disember jam 8 pagi berhampiran Sungai Besut membabitkan daerah Besut. “Ia juga mungkin menjejaskan mereka yang tinggal berhampiran Sungai Terengganu dan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir. “Banjir mungkin bermula pada 1 Januari jam 8 pagi di Pahang dekat Sungai Pahang melibatkan daerah Maran, Temerloh dan Jerantut; Sungai Kuantan melibatkan daerah Kuantan (Sg. Lembing); dan Sungai Rompin melibatkan daerah Rompin serta kawasan sekitar yang berisiko dilanda banjir. “Bagi Johor, banjir mungkin berlaku pada 1 Januari jam 8 malam berhampiran Sungai Mersing yang melibatkan daerah Mersing dan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir,” katanya. JPS menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI