POLIS menahan seorang lelaki etnik Rohingya yang dikenali sebagai Long Tiger, hampir dua minggu selepas pelarian itu melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret di Tangkak, Johor. Difahamkan, suspek berusia 32 tahun, Abdul Hamim Ab Hamid ditahan dalam operasi khas yang dijalankan polis pada Selasa di Sungai Petani, Kedah. Gambar Abdul Hamim yang tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek putih, dipegang oleh beberapa anggota polis turut tular di media sosial. Difahamkan juga, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 40-an di tempat kejadian yang dipercayai membantu Abdul Hamim melarikan diri dari Johor ke Kedah. Polis masih mengesan beberapa individu lain, dipercayai turut membantu Long Tiger selepas dia melarikan diri. Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan lelaki itu. “Memang benar, dia ditahan di Kedah. "Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi. Pada 15 Disember lalu, Abdul Hamim melarikan diri melalui pintu masuk utama mahkamah Tangkak sekitar jam 11.55 pagi sebelum pendengarannya. Dia dijemput dari Penjara Sungai Udang di Melaka sehari sebelum kejadian dan dibawa menghadiri sesi mahkamah untuk kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan (kerana peras ugut). Anggota polis yang membawa Abdul Hamim, yang digari ke mahkamah hanya menyedari dia cuba melarikan diri selepas menyedari dia berlari keluar dari pintu menuju ke pintu pagar. Empat anggota polis dan pengawal keselamatan mahkamah mengejar suspek tetapi dia sempat berlari ke arah hutan. Suspek juga sedang menjalani perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar atas dakwaan rogol. - The Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI