PERSATUAN Insurans Am Malaysia (Piam) menganggarkan industri insurans am berpotensi berdepan peningkatan tuntutan berkaitan banjir antara RM2 bilion hingga RM3 bilion berikutan berncana luar biasa melanda di beberapa kawasan, baru-baru ini. Piam dalam satu kenyataan berkata, anggaran itu termasuk daripada tuntutan persendirian dan komersial yang berpotensi dan sebenar, berpunca daripada banjir kilat selain musim tengkujuh yang akan datang dalam beberapa minggu serta bulan akan datang. "Disebabkan banjir teruk luar biasa seperti yang dilaporkan secara meluas di pelbagai tempat dalam negara ini, industri insurans am berpotensi menghadapi peningkatan sebanyak RM2 bilion hingga RM3 nilion jumlah pendedahan tuntutan berkaitan banjir. "Sebagai tambahan kepada jumlah pembayaran tuntutan yang dianggarkan untuk bencana ini, industri insurans am turut menghulurkan bantuan dengan menyumbang RM2.43 juta kepada Tabung Bantuan Banjir @ Disember 2021 yang baru ditubuhkan, sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong komuniti permotoran yang terjejas teruk ketika waktu sukar ini. "Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans sejak bencana banjir berlaku, iaitu mempercepatkan penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan khas tambahan, dan bantuan ad hoc ex-gratia selanjutnya, seperti yang ditentukan oleh penanggung insurans am individu. PIAM berkata, bantuan CSR tersebut pada mulanya dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan yang terjejas secara langsung akibat banjir yang mana masih belum dibaiki pada peringkat ini. "Subsidi ini dihadkan pada sekali beri bagi setiap kenderaan sebanyak RM500 untuk kereta atau kenderaan perdagangan dan RM100 untuk motosikal. "Pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti yang diperlukan tentang kerosakan banjir pada kenderaan mereka dan bukti perlindungan insurans terdahulu. "Kenderaan tersebut mestilah sama ada diinsuranskan pada masa ini (sebarang jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir adalah layak) atau kenderaan yang kali terakhir diinsuranskan pada 1 Jun 2021. "Pada peringkat ini, dana akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 juta sudah habis digunakan," katanya. Sehubungan itu, selaras dengan objektif CSR persatuan itu, PIAM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak atau industri lain terhadap Tabung Bantuan Banjir ini yang akan memanjangkan hayat dana dan seterusnya membantu lebih ramai pemandu terjejas. "Aspek operasi dan butiran tentang cara pemandu yang terjejas boleh membuat tuntutan terhadap inisiatif CSR ini akan diumumkan tidak lama lagi. "Sementara itu, kami menasihati pemandu yang terjejas supaya mengambil perhatian tentang keperluan tuntutan di atas berkaitan dengan kelayakan dan bukti dokumen atau bergambar," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI