suria

Dos penggalak Pfizer, AstraZeneca boleh diberi sekurang-kurangnya 3 bulan selepas dos kedua - Khairy

Khairy memberi penjelasan berkaitan situasi Covid-19 di negara ini.

DOS penggalak untuk penerima vaksin Pfizer dan Astrazeneca boleh diberikan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas dos kedua, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan membuat pengumuman mengenai sela masa lebih pendek untuk dos penggalak Covid-19, pada sidang media, Selasa.

Langkah memendekkan sela masa itu diambil oleh negara lain seperti Jerman dan Australia, yang mengesyorkan sela masa penggalak lebih pendek dalam usaha untuk menghentikan penyebaran varian baharu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, penemuan kes varian Omicron membabitkan seorang lelaki di Sarawak yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara baru-baru ini, berkemungkinan besar Omicron kini berada dalam komuniti.

"Bukti kukuh yang terkumpul sejak tiga minggu lalu menunjukkan vaksin penggalak berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan varian Omicron.

"Hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom juga menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan.

"Selaras dengan itu, badan regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima vaksin primer," katanya pada sidang media.

Tambah Khairy, kumpulan kerja teknikal juga telah menilai bukti sedia ada dan memberikan cadangan baharu mengenai pentadbiran dos penggalak Covid-19.

"Semua warga emas berumur 60 tahun ke atas dan semua orang dewasa yang menerima kedua-dua dos vaksin mereka (Pfizer, Astrazeneca dan CoronaVac) amat disyorkan untuk menerima dos penggalak mereka sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

"Individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni dan kakitangan di pusat penjagaan kesihatan akan diberi keutamaan untuk menerima dos penggalak.

"Kita akan menggunakan pendekatan pengurangan umur bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan telah menerima dua dos suntikan mereka, bermula dari 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas, dan seterusnya 18 tahun ke atas.

"Orang dewasa akan menerima dos penggalak pada Januari dan Februari tahun depan. Kita akan meningkatkan kapasiti dengan membuka lebih banyak PPV (pusat pemberian vaksin) dan klinik swasta," katanya sambil menambah bahawa suntikan penggalak Sinovac hanya akan diberikan kepada mereka yang dikontraindikasikan terhadap Pfizer atau Astrazeneca. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Lain