SEORANG wanita terpaksa melahirkan bayinya di dalam kereta gara-gara tidak sempat untuk tiba di hospital. Menerusi satu hantaran di laman Facebook PenangKu Viral, wanita berkenaan pada mulanya pergi ke sebuah hospital kerajaan kerana sudah menunjukkan tanda-tanda mahu bersalin. Bagaimanapun, wanita itu didakwa diminta pulang ke rumah terlebih dahulu kerana diberitahu masih belum tiba masa untuk melahirkan bayi kerana bukaan menunjukkan 2 sentimeter. Wanita itu kemudian merayu kepada pihak hospital untuk membenarkannya dimasukkan ke wad memandangkan dia tinggal di Sungai Ara, yang agak jauh dari hospital. Bagaimanapun, rayuannya didakwa tidak diendahkan. Tidak lama selepas tiba di rumah, wanita itu memberitahu suaminya dia perlu dikejarkan ke hospital semula kira-kira jam 7 malam kerana 'turun darah'. Bagaimanapun tempoh perjalanan ke dua buah hospital kerajaan adalah antara 50 minit hingga 1 jam dan 20 minit pada ketika itu, berikutan trafik pada waktu puncak. Wanita itu akhirnya melahirkan bayi di dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke hospital, sebelum suaminya membawanya ke sebuah hospital swasta terdekat. Menerusi hantaran itu juga, suami wanita tersebut meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa membayar bil hospital "tidak dijangka", dan menyalahkan pihak hospital pertama kerana meminta isterinya pulang ke rumah, sebelum itu. Hantaran tersebut bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh kejadian itu berlaku. Jurucakap Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata jabatan itu akan membuat laporan selepas melakukan siasatannya. Beliau berkata laporan itu akan dimajukan kepada Kementerian Kesihatan. - THE STAR Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI