suria

Penduduk di Selangor dinasihati waspada ancaman banjir akibat air pasang

Penduduk dinasihati waspada ancaman banjir akibat air pasang

PIHAK berkuasa meminta penduduk di kawasan pantai di Selangor untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap kemungkinan banjir kilat akibat air pasang besar yang dijangka berlaku pada pukul 7.41 pagi Rabu (5 Jan).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim berkata banjir mungkin berlaku sekiranya hujan berterusan dan ditambah dengan air pasang.

“Sejak tiga hari lalu air pasang besar yang bermula pada Ahad (2 Jan) hingga awal pagi Selasa (4 Jan) masih terkawal kerana tiada hujan atau angin kencang. Kami berharap perkara yang sama berlaku pada hari Rabu,” katanya.

Pada Selasa, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang Razif Mohmad Haris berkata air pasang naik sehingga 5m maksimum berikutan air di sepanjang pantai lebih tenang dan tidak menembusi ban yang diletakkan.

Tinjauan StarMetro mendapati paras air berada di lebih rendah dari ban yang diletakkan di Jalan Syahbandar dan air pasang surut dengan cepat.

“Pegawai kami yang ditempatkan di pantai Pelabuhan Klang mendapati keadaan laut tenang dan tiada banjir besar,” katanya.

Razif menambah bahawa ban di sepanjang pantai Klang di Telok Gong, Pulau Ketam di Pelabuhan Klang serta Jeti Tok Muda dan Sementa di Kapar berada dalam keadaan baik dan dapat menahan tekanan air yang kuat.

Selain itu, beberapa anggota Pertahanan Awam Daerah Klang, Jabatan Kerja Raya Klang, Balai Bomba Pelabuhan Klang dan Skuad Tindakan Cepat (Pantas) Majlis Perbandaran Klang turut hadir bagi memantau keadaan air pasang besar di jeti Pelabuhan Klang.

Pegawai daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji berkata pihaknya mengingatkan mereka yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan pantai supaya sentiasa berwaspada terutama jika hujan berterusan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata orang ramai dilarang untuk menghampiri kawasan pesisir pantai di daerah tersebut buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

"Kawasan yang ditutup adalah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Cunang, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib dan Jeti Tanjung Sepat.

“Medan selera dan kiosk peniaga di kawasan itu juga ditutup,” tambah Amirul. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

banjir, selangor, air pasang, ban, berhati-hati

Artikel Lain