suria

Wow! Instagram Apple mulakan tahun baharu papar gambar dirakam pelajar Malaysia

Foto yang dirakam Hou Wah di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur. foto LING HOU WAH

SYARIKAT teknologi gergasi, Apple memulakan tahun baharu dengan memaparkan gambar yang dirakam oleh seorang pelajar Malaysia, di laman Instagramnya.

Foto yang dimuat naik pada 1 Januari itu diberi kapsyen "Take a step back and look at the big picture..." dan memaparkan seorang individu yang sedang duduk di jeti.

Gambar tersebut dirakam oleh Ling Hou Wah, pelajar berusia 17 tahun dari Puchong, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Fuh! Bukan 1, tapi 3 foto kreatif milik rakyat Malaysia umur 20 tahun jadi pilihan Apple - "Saya bukan jurugambar"

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah abang polis... Gambar pokok kelapa disiar di Instagram Apple, Terengganu kini di mata dunia!

"Saya benar-benar tidak sangka ia dipaparkan. Saya mengambil gambar itu pada Januari tahun lalu dan hanya menyiarkannya di laman Instagram saya pada Julai.

"Pada Disember, Apple menghantar e-mel mengatakan mereka sedang mempertimbangkan gambar tersebut untuk dipaparkan di halaman Instagram mereka dan memerlukan saya untuk memberikan sedikit maklumat," kata Hou Wah ketika dihubungi LifestyleTech.

Menurut Hou Wah, dia merakamkan foto tersebut dari dek pemerhatian di Taman Metropolitan Kepong di Kuala Lumpur.

"Saya percaya individu di dalam gambar itu adalah sebahagian daripada kumpulan yang mengambil gambar perkahwinan di jeti. Saya mahu mendapatkan rakaman foto minimalis, maka saya memutuskan untuk hanya fokus pada orang yang melihat air. Bagi saya, gambar itu mengenai rasa ketenangan," katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana gambarnya dipaparkan di Instagram Apple yang menerima lebih 98,000 tanda suka.

Hou Wah memberitahu, minatnya dalam bidang fotografi sejak 2018.

"Fotografi adalah hobi dan jalan untuk saya meredakan tekanan. Setiap kali saya rasa buntu dengan kelas dalam talian dan ulang kaji untuk persediaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya akan mencari masa lapang dengan mengambil beberapa gambar," katanya.

Selain mengambil gambar menggunakan telefon bimbit, Hou Wah turut menceburi bidang fotografi dron. Lebih banyak karyanya boleh dilihat di laman Instagramnya.

Hou Wah menyertai sekumpulan rakyat Malaysia di mana gambar yang dirakamkan mereka turut dipapar di laman Instagram Apple, seperti anggota polis Azmeer Iskandar dengan gambar pantai Terengganunya, rakaman foto pelajar Dinie Aiman Sukhaizar tentang sawah padi di Perlis dan gambar Muhammad Faris Danial Mohd Faizal ketika matahari terbenam di Sabak Bernam.

Laman Instagram Apple mempunyai lebih 27 juta pengikut di mana ia memaparkan imej yang diambil oleh pengguna iPhone dari seluruh dunia menggunakan hashtag #ShotoniPhone. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain