INDEKS Jisim Badan (BMI) murid-murid berusia lima hingga sembilan tahun akan diperiksa bermula tahun akademik 2022/2023. Kementerian Pendidikan akan menjalankan program yang dikenali sebagai BMI 5-9T, bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan murid sekolah. “Kementerian akan melaksanakan BMI 5-9T dua kali setahun, dengan ujian pertama dijalankan pada bulan ketiga selepas bermulanya sesi persekolahan, berdasarkan kalendar akademik. “Ujian kedua akan dijalankan lima bulan selepas ujian pertama. “Program ini juga bertujuan untuk membantu murid menyedari kepentingan memiliki komposisi badan yang ideal, melakukan senaman secara berkala dan mengamalkan pemakanan sihat untuk kesejahteraan mereka,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid dalam satu Pekeliling yang dimuat naik di laman web kementerian. Pekeliling itu dikeluarkan pada 23 Dis 2021. Pelaksanaannya akan bermula pada hari pertama tahun akademik sekolah 2022/2023. Program itu, katanya, akan dilakukan setiap tahun untuk murid dari kumpulan usia ini. Ia diwajibkan kepada murid prasekolah dan tahap satu di sekolah rendah kebangsaan, agensi kerajaan dan swasta, serta sekolah swasta, tambahnya. “Ia juga diwajibkan kepada murid berkeperluan khas, kecuali mereka yang memerlukan sokongan maksimum. “Pelaksanaan ujian akan dilakukan untuk murid tahap satu semasa Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, dan semasa pembelajaran bersepadu dan aktiviti luar untuk kanak-kanak prasekolah. “Rekod dan pengukuran BMI perlu dilakukan secara manual dalam borang BMI 5-9T dan secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) kementerian,” katanya. - The StarDapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI