suria

Jentera bomba terbalik, anggota cedera ringan

Keadaan jentera bomba yang terbalik di persimpangan lampu isyarat Jalan Lipat Kajang.

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jasin Bestari pada Ahad menerima panggilan kecemasan daripada dua anggotanya, selepas terbabit dalam kemalangan jentera tangki air yang dinaiki mereka terbalik di persimpangan lampu isyarat di Jalan Lipat Kajang di Melaka.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Soon Wee Kiang berkata, dalam kejadian tengah hari itu, jentera tersebut sedang menjalani ujian pemanduan sebelum melalui selekoh tajam.

"Dua anggota bomba membuat panggilan kecemasan di Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari.

"Mujur kedua-duanya hanya mengalami kecederaan ringan dan kini di bawah pemantauan di Hospital Jasin," katanya ketika dihubungi.

Wee Kiang berkata, pemandu jentera dikenal pasti sebagai Samsul Yazid Khamis, 41, dan penolong pemandu adalah Muhammad Syahmi Karim, 26, kedua-dua mereka daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari.

Jelasnya, jentera bomba dan perkhidmatan perawatan kecemasan perubatan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurut Wee Kiang, pihak jabatan masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian.

"Kita akan mendapatkan keterangan daripada pemandu sebaik sahaja dia keluar dari pemantauan perubatan," tambahnya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain