PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menunjukkan peningkatan sembilan peratus dalam jumlah kutipan zakat pada tahun lalu, dengan pendapatan lebih RM828 juta berbanding RM761 juta pada 2020. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata pencapaian ini adalah hasil aktiviti promosi dan dakwah zakat yang berterusan oleh semua pihak serta kesedaran mengenai amalan itu yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat. “Turut menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat adalah kepelbagaian saluran bayaran baharu yang disediakan bagi memudahkan pembayar membuat bayaran seperti perkhidmatan Kaunter Zakat Digital, Portal PPZ-MAIWP, Aplikasi MyZakat, MyTemujanji, Door To Door servis dan Ride 2 U,” katanya pada sidang media, Isnin. Selain itu, MAIWP juga telah memberi peruntukan bantuan tambahan di bawah Program Sentuhan Kasih MAIWP-Misi Banjir 2.0 sebanyak RM35 juta bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas teruk akibat kerosakan harta benda akibat bencana itu. Dalam majlis sama turut diadakan penyampaian hadiah kepada lima pemenang utama dan tiga pembayar setia bagi kempen Year End Zakat 2021 yang berlangsung pada 15 November hingga 31 Disember lalu. Lima pemenang utama dan tiga pembayar setia kempen Year End Zakat 2021. Sejumlah 1,200 pembayar zakat bertuah dipilih secara rawak memenangi pelbagai hadiah menarik seperti Thermomix, telefon pintar, penyedut habuk, baucar dan sebagainya. Turut hadir Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI