suria

Kontroversi pemilikan saham, Azam Baki minta semua bersabar

Azam bersedia menyerahkan kepada budi bicara Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) kerana tiada sebarang fakta disembunyikannya.

SEJAK minggu lalu, negara dikejutkan dengan berita mengaitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengenai isu pemilikan jutaan saham.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Bagaimanapun, kenyataan beliau ditentang oleh enam ahli LPPR lain iaitu Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Profesor Datuk Mohammad Agus Yusoff.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya akan lawan" - Azam Baki

Mereka menegaskan kenyataan Abu Zahar itu adalah pendapat peribadi beliau semata-mata.

Situasi itu membangkitkan lebih banyak persoalan dan persepsi negatif tanpa ada jawapan yang pasti.

Susulan itu, Abu Zahar pada Selasa memaklumkan dalam sidang media bahawa beliau bersedia untuk disiasat oleh mana-mana pihak atau organisasi pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai Pengerusi LPPR sekiranya kenyataan media yang dibuat beliau telah menimbulkan salah faham sehingga ke tahap menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, Azam sendiri pada Selasa meminta agar semua pihak bersabar kerana 'kebenaran akan terungkap tidak lama lagi'.

Beliau sendiri telah menyerahkan dirinya kepada jawatankuasa-jawatankuasa SPRM untuk menyiasat dan percaya kebenaran akan diketahui semua orang satu hari nanti.

Malah katanya, sekiranya kes itu dirujuk, beliau juga bersedia menyerahkan kepada budi bicara LPPR kerana tiada sebarang fakta disembunyikannya.

Beliau juga yakin tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah atau salah guna kuasa seperti yang didakwa pihak tertentu. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Azam Baki, saham, SPRM

Artikel Lain