suria

Pengembara pernah dijangkiti Covid-19, dapat vaksinasi lengkap tak perlu kuarantin wajib - Khairy

Pengembara yang tiba di KLIA menjalani ujian saringan Covid-19. foto AZHAR MAHFOF/The Star

PENGEMBARA yang pernah dijangkiti Covid-19 dan mendapat vaksinasi lengkap tidak perlu menjalani kuarantin wajib sebaik tiba di Malaysia, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan berkata, prosedur kemasukan ke Malaysia oleh pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 itu berkuat kuasa pada Khamis, 13 Januari.

"Setibanya di Malaysia, pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 11 hari hingga 60 hari dan telah lengkap vaksinasi Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin wajib.

"Mereka bagaimanapun masih perlu lakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK Ag di hadapan petugas kesihatan kerajaan atau swasta yang ditempatkan di pintu masuk antarabangsa.

"Bagi pengembara yang belum menerima vaksinasi lengkap atau tidak divaksinasi, pengembara akan dikenakan kuarantin wajib tujuh hari di stesen kuarantin dan perlu lakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK Ag di hadapan petugas kesihatan kerajaan atau swasta yang ditempatkan di pintu masuk antarabangsa," kata Khairy dalam satu kenyataan, petang Rabu.

Bagi pengembara yang tidak pernah dijangkiti Covid-19, Khairy berkata, ketetapan semasa masih terpakai.

Beliau menasihatkan semua pengembara supaya sentiasa mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, sepanjang berada di Malaysia.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optima serta mengelakkan gejala jangkitan Covid-19 yang teruk serta komplikasinya," katanya.

Berikut adalah prosedur yang perlu dilakukan oleh pengembara yang tiba di Malaysia dengan sejarah jangkitan Covid-19:

1. Pengembara hendaklah telah menerima vaksin lengkap dengan bukti penerimaannya.

2. Bukti telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 11 hari hingga 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia, melalui keputusan ujian makmal yang dicetak atau secara digital.

3. Pengembara yang mempunyai sejarah kemasukan ke hospital kerana dijangkiti Covid-19 perlu mengemukakan surat 'Fit to Travef' daripada pengamal perubatan di hospital terbabit.

4. Bagi pengembara yang menjalani isolasi atau pengasingan di tempat kediaman termasuk hotel kerana dijangkiti Covid-19 dan tidak dimasukkan ke hospital, mereka perlu menjalani ujian saringan RTK antigen (Ag) profesional dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia. Hanya individu dengan keputusan negatif sahaja dibenarkan meneruskan perjalanan.

5. Kesemua dokumen berkaitan bagi perkara 1, 2 dan 3 di atas hendaklah dibawa dan ditunjukkan kepada pihak berkuasa penerbangan dan kesihatan di pintu masuk, sekiranya diminta.

Selain syarat-syarat di atas, pengembara perlu mematuhi keperluan-keperluan berikut semasa tiba di Malaysia, iaitu:

1. Pengembara dikehendaki memuat turun dan mengisi deklarasi kesihatan dalam aplikasi MySejahtera.

2. Pengembara dikehendaki mengimbas QR Code 'Pengembara dari Luar Negara' dengan menggunakan aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa Malaysia.

3. Pengembara perlu menjalani saringan status kesihatan termasuk mengimbas suhu badan di pintu masuk antarabangsa.

4. Pengembara dikehendaki menjalani ujian pengesanan Covid-19 menggunakan RTK Ag di hadapan petugas kesihatan Kerajaan atau swasta yang ditempatkan di pintu masuk antarabangsa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain