suria

Lelaki hilang ditemukan bergayut pada pokok dalam keadaan bogel

Lokasi Ahmad Zul Mukriz dilaporkan menghilangkan diri selepas terserempak dengan anggota polis.

SEORANG lelaki yang hilang gara-gara takut selepas terserempak dengan polis yang sedang melakukan rondaan di Kampung Nelayan, Tok Bali, Pasir Puteh, ditemukan tanpa pakaian dan bergayut pada pokok.

Mangsa, Ahmad Zul Mukhriz Zakaria, 22, ditemukan dalam keadaan lemah pada jam 8.15 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, pada jam 8.05 malam seorang penduduk telah terdengar suara orang meminta bantuan dari arah paya berhampiran dengan lokasi mangsa dikhuatiri hilang.

"Sejurus mendengar teriakan itu, individu tersebut terus memberitahu bapa mangsa. Bapa mangsa bersama penduduk kampung telah pergi ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

"Pada jam 8.15 malam, mangsa telah dijumpai sedang berpaut pada sebatang pokok dalam keadaan tidak memakai pakaian dan berada dalam keadaan lemah," katanya.

Menurutnya, semasa ditemukan terdapat kesan calar di seluruh badan mangsa dan kaki dalam keadaan berdarah serta pucat disebabkan terlalu lama berada di dalam air.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa balik ke rumah sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis, di sini untuk rawatan lanjut.

Ediansha berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil, masih boleh bercakap dan mengingati kejadian tersebut dari awal. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

pasir puteh, hilang, takut, gayut, bogel, lelaki, polis

Artikel Lain