LADANG ternakan babi di Paya Mengkuang di Melaka, diwartakan sebagai kawasan wabak Demam Babi Afrika (ASF), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Beliau berkata, langkah itu bagi membendung penularan ASF di ladang ternakan babi komersial di Masjid Tanah. "Sekatan pergerakan ternakan adalah tidak terhad dan hanya akan ditarik balik selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mewartakan kawasan itu selamat," katanya pada Khamis. Sulaiman berkata, sekatan pergerakan hanya akan dikuatkuasakan di 35 ladang ternakan babi dan bukannya kampung. "Pemeriksaan ketat akan dilaksanakan terhadap pergerakan ternakan di kawasan ini. "Pemantauan, pemeriksaan dan pensampelan klinikal di semua ladang di kawasan jangkitan juga dipertingkatkan," tambahnya. Pada Disember, JPV mewartakan wabak ASF di tujuh ladang ternakan babi komersial di Paya Mengkuang. Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, ia susulan pihaknya menyiasat laporan dari ladang ternakan babi tersebut dan makmal veterinar Sepang mengesahkan sampel mempunyai virus ASF pada 20, 22 dan 23 Disember. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI