suria

Mayat tersangkut setinggi 6 meter, pekerja kontraktor maut terkena renjatan elektrik

Sebaik diturunkan mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.

AJAL maut, jodoh pertemuan semuanya di tangan tuhan.

Tiada siapa menyangka, hari ini merupakan hari terakhir Foh Soon Kong, 41, keluar bekerja sebelum dia ditemui meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat Dipercayai Terkena Renjatan Elektrik Ditemukan Di Semak

Dalam kejadian di Jalan Bunga Raya berhampiran Taman Eastern, Tawau, Sabah, pekerja kontraktor itu maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja penyelenggaraan bekalan elektrik.

Mangsa ditemui tersangkut pada tiang elektrik setinggi kira-kira enam meter sebelum mayatnya diturunkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.32 pagi berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai lapan anggota BBP Tawau dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer dari balai.

"Menurut laporan, seorang mangsa lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik dan tersangkut pada tiang elektrik ketika melakukan kerja penyelenggaraan.

"Pasukan bomba kemudian bertindak menurunkan mangsa yang tersangkut dengan menggunakan tangga selepas kerja memutuskan bekalan elektrik dilakukan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya lagi, sebaik diturunkan mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 11.36 pagi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain