TIDAK pasti apa puncanya, namun tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyembur cat berwarna merah bertulis perkataan 'babi' pada badan seekor kambing, mengundang reaksi pelbagai daripada netizen. Gambar kambing berkenaan dikongsikan di laman Facebook pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani. Menerusi perkongsian gambar tersebut, turut disertakan kapsyen yang dipercayai ditulis oleh pemilik kambing berkenaan, yang meluahkan rasa marah dan geram dengan pihak yang menjadikan haiwan peliharaannya sebagai mangsa. Gambar kambing malang ini dimuat naik di laman Facebook Ustaz Ahmad Dusuki. "Siapa yang kurang ajar sembur kambing aku dengan tulis b*bi ni, kalau tak puas hati jumpa depan-depanlah. "Tak payah nak sembur kambing aku dengan pewarna macam ni, tak pasal-pasal kambing aku dah jadi haram," tulisnya. Namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut. Sementara itu, Ustaz Ahmad Dusuki turut mengulas perihal insiden berkenaan di dalam posting laman Facebook miliknya. "Manusia ni kan macam-macam perangainya. Sebab itulah Allah hantarkan para alim ulama sebagai panduan hidup setelah ketiadaan para nabi dan rasul," tulis beliau. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan reaksi yang pelbagai berhubung insiden tersebut. "Kesian kambing jadi mangsa. Haiwan ni tak berakal, mana yang tuan dia lepaskan, situlah dia cari makan. Yang tak ada akal tu tuan dia, sebab mungkin tak jaga kambing tu, termasuklah juga yang tukang spray tu. Dua-dua hilang akal. Matlamat tak menghalalkan cara," tulis Nieza HM. "Bermakna orang itu dah habis bersabar... mungkin cakap kat tuan dia, tuan dia buat tak ambil peduli," tulis Amiruddin Esa. "Ketam bulu kambing tu, dan letak dalam kandang... selesai!" tulis Emmar Rashid pula. Sehingga kini perkongsian gambar tersebut di laman Facebook Ustaz Ahmad Dusuki meraih sehingga 102 shares. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI