suria

Productivity Talk, medan berkongsi idea baharu berkaitan pendigitalan dan inovasi

MPC menerbitkan program Productivity Talk bagi menyebarkan informasi berkaitan pendigitalan dan daya saing. (Gambar Hiasan)

PERBADANAN Produktiviti Malaysia (MPC) menerbitkan sebuah program berjudul Productivity Talk bagi menyebar luas informasi berkaitan pendigitalan dan daya saing dalam kalangan masyarakat termasuk pemain industri.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, program berkonsepkan infotainment ini memaparkan amalan terbaik serta kisah jatuh bangun usahawan sebelum dan semasa pandemik Covid-19.

Jelasnya, program ini diharap dapat memupuk minda produktif dalam kalangan masyarakat, terutama golongan peniaga dan pemain industri.

Menurut Abdul Latif, rancangan Productivity Talk ini juga merupakan salah satu inisiatif bagi melancarkan Pelan Pemulihan Negara.

“Rancangan Productivity Talk ini merupakan salah satu usaha MPC dalam menyokong usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam memulihkan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19, termasuk meningkatkan daya saing dan produktiviti industri sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur antarabangsa.

"Kesemua perkongsian itu harus dijadikan iktibar serta panduan kepada orang ramai dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Rancangan ini akan disiarkan secara langsung melalui platform Facebook.

Sebanyak 21 siri Productivity Talk telah disiarkan pada tahun 2021, dan MPC menyasarkan sebanyak 52 lagi siri untuk tahun ini.

Antara isu yang turut dikupas dalam rancangan dwi bahasa ini adalah mengenai penghasilan bakat masa hadapan, pendigitalan dan inovasi, membentuk ekosistem yang teguh, menentukan mekanisme pelaksanaan yang padu, memupuk minda produktif dan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif.

"Inti pati yang disampaikan berbeza daripada cara konvensional dalam penyampaian maklumat termasuk inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan.

"MPC akan memberi nafas baharu dengan menyalurkan informasi mengenai agenda kerajaan dan perkongsian pengalaman industri dalam bentuk yang lebih komersial serta santai untuk menarik lebih ramai golongan muda menonton," katanya.

Rancangan Productivity Talk bersiaran setiap Jumaat, jam 3 petang di Facebook Malaysia Productivity Corporation.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain