suria

Gempar 40 ekor lembu mati mengejut, dipercayai diracun

Lembu milik Thangaraj ditemui mati dipercayai diracun. - foto Sinar Harian

SEORANG penternak digemparkan dengan 40 ekor lembu miliknya mati secara tiba-tiba dipercayai akibat diracun dalam kejadian di Sungai Rotan, Padang Gajah, Trong di Taiping pada Ahad.

Berikutan itu, penternak berkenaan, S Thangaraj, 36, mengalami kerugian kira-kira RM160,000.

Menurutnya, dia menyedari perkara itu selepas dimaklumkan oleh pekerjanya kira-kira pukul 5.30 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar! Lebih 30 kerbau 'Mowgli Malaysia' mati mengejut, banyak lagi akan menyusul - "Syukur asyik menangis, kami buntu"

"Pekerja beritahu lembu tiba-tiba mati di sekitar kawasan ladang buah yang terletak beberapa kilometer dari kandang lembu saya.

"Apabila diperiksa terdapat satu bekas minuman berupa tong drum yang mengandungi air disyaki beracun di dalamnya,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Menurut Thangaraj, dia menternak 160 ekor lembu dan haiwannya dibiarkan lepas meragut rumput di sekitar kebun miliknya dan kawasan berhampiran.

"Walaupun memasuki kawasan ladang buah naga, lembu-lembu itu tidak merosakkan pokok atau memakan buah itu kerana pokoknya yang berduri. Lembu saya hanya memakan rumput yang terdapat di dalam kawasan ladang buah itu.

"Sebelum ini, pemilik ladang ada menghubungi minta halau keluar dan kami akur kerana sudah masuk kawasan orang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, dua laporan telah diterima daripada pihak peladang dan pemilik lembu terbabit.

"Siasatan mendapati jarak ladang buah naga dan kandang lembu kira-kira enam kilometer dan bangkai lembu ditemui pada sekitar dua kilometer di ladang tersebut.

"Bagaimanapun, sampel tadahan air yang terdapat dalam tong besi dan racun tanaman diambil oleh Pasukan Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk dianalisis," katanya.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut membuat bedah siasat terhadap bangkai lembu di tempat kejadian.

"Sampel jantung, limpa, peparu, hati dan ginjal telah diambil untuk dianalisis punca kematian. Permohonan laporan bedah siasat veterinar akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain