PELANGGAN perbankan diingatkan bahawa caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan dilaksanakan semula, bermula Selasa (1 Februari). Beberapa bank termasuk Maybank, RHB Bank, Public Bank, Citibank dan HSBC telah memuat naik notis ini di platform media sosial masing-masing pada pertengahan Disember tahun lalu. Dalam posting media sosial pada 15 Disember, Maybank memberitahu bahawa caj transaksi akan dikuatkuasakan semula mulai 1 Februari untuk pengguna melakukan pengeluaran antara bank. "Pelanggan Maybank masih boleh mengeluarkan wang tunai tanpa caj di ATM Maybank," menurut bank tersebut. Posting media sosial oleh RHB Bank pada hari sama turut memaklumkan pelanggan mengenai pelaksanaan semula caj berkenaan. Selain itu, Public Bank juga memaklumkan pemegang kadnya bahawa caj RM1 akan dikenakan berkuat kuasa 1 Februari. Sementara itu, pengguna media sosial menyuarakan pendapat mereka mengenai perkara itu, dengan antaranya mengatakan caj itu akan mengakibatkan barisan panjang di ATM. "Caj pengeluaran ATM antara bank disambung semula esok. Harap-harap ini tidak mengakibatkan beratur panjang," tulis seorang pengguna di laman Twitter. Bank-bank yang telah melaksanakan caj tersebut adalah sebahagian daripada Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), yang sebelum ini mengumumkan bahawa ia akan mengecualikan caj mulai 6 April 2020, sehingga tamat perintah kawalan pergerakan (PKP). PayNet merupakan rangkaian pembayaran dan prasarana berpusat utama di negara ini bagi pasaran kewangan, dengan Bank Negara Malaysia adalah pemegang saham terbesar, manakala 11 institusi kewangan Malaysia iaitu Maybank, RHB, Public Bank, CIMB, AmBank, Hong Leong Bank, Affin Bank, Alliance Bank, Bank Islam Malaysia, Bank Muamalat dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, sebagai pemegang saham bersama. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI