suria

MB Selangor mohon maaf atas kelewatan agihan bantuan banjir

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. Foto: BERNAMA.
1 / 1

MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memohon maaf atas kelewatan penyaluran Bantuan Selangor Bangkit terutama di Daerah Klang dan Petaling.

Ujarnya, terdapat bilangan permohonan yang tinggi dari dua daerah tersebut dan masih ramai yang belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang bernilai RM1,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa sanggup redah banjir balik rumah demi beri kucing makan, terkejut tengok pemandangan Taman Sri Muda selepas terbangkan dron

"Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada mereka yang sudah memohon, layak menerima tetapi belum disampaikan Bantuan Selangor Bangkit.

"Kerajaan Negeri mendapati terdapat kes-kes tambahan permohonan tinggi di Daerah Klang dan Petaling serta permohonan lebih daripada sekali oleh ahli-ahli keluarga selain Ketua Isi Rumah.

"Secara keseluruhan kita telah menerima 109,000 permohonan yang memerlukan RM109 juta bagi BSB," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikongsi menerusi Twitter.

Kata Amirudin, untuk mengelakkan pertindihan serta memastikan keadilan agihan, Pejabat-pejabat Daerah kini dalam peringkat akhir menyelesaikan pemutihan data.

"Pemberian BSB akan diusahakan secepat mungkin dan disalurkan selewat-lewatnya akhir bulan Februari 2022," ujarnya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerja-kerja pembersihan pasca-banjir sudah siap sepenuhnya kecuali di Taman Sri Muda akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.

"Pihak KDEB Waste sedang menyegerakan proses ini yang akan dibantu oleh gotong-royong komuniti secara besar-besaran pada 6 Februari 2022," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain