suria

Gaduh: Dua peniaga Padang Kota Lama diberi surat tunjuk sebab

Insiden pergaduhan di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama di Georgetown.

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada dua peniaga yang terlibat dalam insiden pergaduhan di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama di Georgetown, baru-baru ini.

MBPP dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, ia kesal dengan kejadian pergaduhan yang dilaporkan pada 2 Februari lalu melibatkan dua peniaga kompleks berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga Padang Kota Lama bikin gamat, siap ada pegang kayu macam nak pukul orang... tapi apa hal 'teh ais terbang'?

ARTIKEL BERKAITAN: Dendam berlarutan lama punca peniaga Padang Kota Lama bergaduh, 7 individu ditahan polis

Menurutnya, kedua-dua peniaga berkenaan diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan penjelasan bermula notis yang dikeluarkan kepada mereka pada Khamis.

"Insiden sebegini tidak seharusnya berlaku dan MBPP selaku pemilik premis berkenaan memandang serius dengan apa yang berlaku.

"Siasatan dalaman dan tindakan susulan telah diambil oleh MBPP," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan, penjelasan itu akan diteliti MBPP dalam Mesyuarat Jawatankuasa Majlis untuk keputusan dan tindakan lanjut tanpa sebarang prejudis.

"MBPP tidak akan bertoleransi dan berkompromi dengan sebarang tindakan yang akan mengganggu ketenteraman awam atau merosakkan keharmonian di kawasan awam dan kemudahan yang disediakan oleh MBPP," katanya.

Terdahulu, dilaporkan dendam yang berlarutan antara dua peniaga dan pertikaian mengenai pelanggan mencetuskan pergaduhan.

Pemangku Ketua Polis Daerah George Town, Superintendan V Saravanan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain