suria

Tun M dibenar pulang ke rumah, masih jalani rawatan di IJN

Dr Mahathir memaklumkan beliau kini semakin pulih.

TAHAP kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini semakin pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut kenyataan daripada pejabatnya, Dr Mahathir dibenarkan pulang ke rumah pada 2 Februari lalu dan perlu kembali ke Institut Jantung Negara (IJN) semula untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

"Tun Dr Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan buat masa ini Tun masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan daripada pelawat," menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M semakin pulih, dipindah ke wad biasa IJN - Marina

Sementara itu, Dr Mahathir turut memaklumkan mengenai keadaan kesihatannya menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial beliau, pada petang Jumaat.

"Saya ingin maklumkan telah pulih. Tidak sepenuhnya, tetapi telah pulih beberapa hari.

"Dan saya tiap-tiap hari balik ke rumah dari hospital, dari pagi sampai petang dan selepas tu saya ke hospital kerana masih ada prosedur yang mereka (pasukan perubatan) ingin teruskan," kata Dr Mahathir menerusi video berdurasi 1 minit dan 15 saat.

Dr Mahathir turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan beliau.

"Ramai yang hantar bunga, kad (ucapan) dan sebagainya. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih.

"Harapan saya adalah saya akan pulih sepenuhnya. Terima kasih kepada semua," ujar beliau secara ringkas.

Rata-rata netizen di ruangan komen mendoakan kesejahteraan Dr Mahathir agar beliau segera pulih sepenuhnya.

Tahap kesihatan bekas perdana menteri itu semakin baik dan dipindahkan dari Unit Rawatan Koronari (CCU) ke wad biasa IJN, pada 26 Januari lalu.

Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Januari.

Ia bagi menjalani prosedur perubatan elektif dikendalikan sepasukan doktor institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain