SEORANG lelaki maut dipercayai terjun dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Georgetown, sebelum mayat isterinya ditemui dengan kesan tikaman di bilik tidur. Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, polis menerima panggilan pada pukul 7.38 pagi Jumaat selepas mayat lelaki itu ditemui di tingkat bawah pangsapuri. "Kita menemui mayat lelaki berusia 54 tahun dalam keadaan terbaring dan mayatnya dihantar ke hospital untuk bedah siasat. "Kemudian pada tengah hari, seorang wanita tampil di balai polis dan melaporkan unit kediaman anaknya di tingkat 12 berkunci dan dia tidak dapat memasukinya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Beliau berkata, polis kemudian mendapat akses ke unit itu, sebelum menemui mayat seorang wanita berusia 46 tahun di bilik tidur. "Hasil pemeriksaan mendapati kesan tikaman di badannya termasuk satu di leher. "Siasatan turut mendapati lelaki yang maut itu merupakan suami kepada wanita berkenaan. "Kejadian disyaki berpunca daripada pergaduhan pasangan tersebut. Kita percaya lelaki itu menikam isterinya sebelum terjun dari tingkat 12," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Saravanan berkata, tiada tanda-tanda kediaman pasangan itu dipecah masuk dan ia berkunci dari dalam. Beliau berkata, sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan itu ditemui, dan anak lelaki mereka berusia 18 tahun yang tinggal bersama tiada di rumah ketika kejadian. Siasatan sedang dijalankan dan keputusan bedah siasat belum diperoleh. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI