suria

SPRM siasat dakwaan rasuah Mara Corp selepas kebocoran dokumen

SPRM akan melancarkan siasatan terhadap Mara Corp pada Isnin. Gambar hiasan.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan salah urus melibatkan pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Corp.

Suruhanjaya itu berkata ia telah menerima laporan mengenai isu itu dan akan melancarkan siasatan pada Isnin (7 Februari) dengan merekodkan kenyataan beberapa saksi daripada Mara Corp.

ARTIKEL BERKAITAN: Mara Inc: 24 Saksi Disoal Siasat

"SPRM memandang serius dakwaan wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.

"Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan pada Sabtu (5 Februari).

Pada Jumaat (4 Februari), Pengerusi Mara Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata siasatan lanjut terhadap Mara Corp telah dimulakan untuk menyemak dokumen berkaitan bagi memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

Beliau berkata ini berikutan penyebaran dokumen pentadbiran dalaman tanpa kebenaran kepada orang ramai, yang telah menimbulkan persepsi negatif terhadap Mara dan anak syarikat berkaitannya.

"Sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam urus tadbir anak syarikat di bawah agensi ini, Mara tidak akan sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan," katanya. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

SPRM, Mara Corp, kebocoran dokumen

Artikel Lain