SEORANG penunggang motosikal maut akibat tersepit di bahagian tayar belakang sebuah kontena dalam satu kemalangan tragis pada Jumaat. Dalam insiden yang berlaku sekitar pukul 8.00 pagi di Jalan Sungai Buloh menghala Damansara Damai, mangsa, Danial Imran Kamarolzaman disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.16 pagi. ARTIKEL BERKAITAN: Belum ajal! Penunggang motosikal berjaya ‘lari’ dari maut digilis lori dalam masa kurang 3 saat... netizen saran buat sujud syukur "Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian. "Sebaik tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah kontena dengan sebuah motosikal Honda EX5. "Mangsa didapati tersepit di bahagian tayar belakang kontena berkenaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. Beliau berkata, anggota bertugas bertindak membawa keluar mangsa menggunakan peralatan 'air lifting bag' dan bantuan excavator. "Kami mengambil masa beberapa minit bagi mengeluarkan mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata polis sedang mengesan saksi kemalangan maut tersebut. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI