suria

Tangguh umrah: Jemaah bakal terima saguhati RM1,671, kredit ke akaun TH minggu depan

Jemaah yang terkesan dengan penangguhan umrah bakal menerima saguhati daripada kerajaan.

JEMAAH umrah bakal menerima pembayaran saguhati sebanyak RM1,671 seorang daripada kerajaan, ekoran penangguhan sementara ibadah itu sejak 8 Januari lalu kerana kebimbangan terhadap varian Omicron Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pembayaran saguhati akan dikreditkan menggunakan akaun simpanan Tabung Haji (TH) jemaah umrah, pada 18 Februari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang varian Omicron, kerajaan tangguh sementara kebenaran perjalanan umrah

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbangan semula jemaah umrah tidak semestinya pada 8 Februari ini - Nancy Shukri

"Berdasarkan mesyuarat terkini yang diadakan antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Kewangan dan Tabung Haji, saya bersetuju agar pembayaran saguhati hanya dikreditkan menggunakan akaun simpanan TH para jemaah umrah bagi memudahkan urusan.

"Motac telah menyerahkan senarai nama sebanyak 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima saguhati kepada TH.

"Pengkreditan terus saguhati sebanyak RM1,671 seorang ke dalam akaun simpanan TH akan dibuat pada Jumaat, 18 Februari," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Idris bagaimanapun berkata, daripada jumlah tersebut, pihak TH mendapati seramai hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun tersebut sebelum 18 Februari.

"Jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik.

"Bagi mereka yang mempunyai kesukaran untuk mendaftar secara atas talian, boleh terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran dan akan dibantu sebaiknya oleh semua kakitangan di cawangan-cawangan TH," katanya.

Menurut Idris, jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta-merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama.

"Saya juga telah memaklumkan kepada pihak TH supaya segala tuntutan pembayaran akan dipermudahkan semaksimanya supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan," katanya.

Pada 1 Januari lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perjalanan umrah untuk rakyat Malaysia akan digantung sementara mulai 8 Januari, mankala jemaah yang pulang dari Arab Saudi pula akan dikenakan kuarantin wajib di pusat yang ditetapkan, bermula 3 Januari.

Jelas Khairy, keputusan itu dibuat kerana kebimbangan terhadap varian Omicron Covid-19 dan penjualan tiket untuk jemaah umrah baharu akan digantung mulai 1 Januari.

Kerajaan kemudian membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain