suria

Dua parah, 15 cedera treler bertembung bas kilang

Bas kilang terbalik selepas bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian pada lewat petang Sabtu. Foto: Sinar Harian

DUA parah manakala 15 yang lain cedera ringan apabila sebuah treler bertembung dengan sebuah bas kilang dalam kejadian berdekatan kilang di Jalan Perusahaan Perai, Perai pada lewat petang Sabtu.

Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, PBK II Mohd Fakharurazi Md Rejab, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.15 malam itu, kesemua 15 yang cedera adalah pekerja kilang bukan warganegara Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejambat runtuh hempap van kilang, 5 dipercayai terperangkap

"Kita menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.21 malam dan terus bergegas ke lokasi kejadian. Di situ kita mendapati, kemalangan melibatkan sebuah bas kilang yang membawa pekerja telah bertembung dengan sebuah treler.

"Kemalangan tersebut menyebabkan bas kilang terbalik. Pemeriksaan mendapati, pemandu treler dan pemandu bas tersepit di bahagian tempat duduk. Kedua-duanya dalam keadaan cedera parah," katanya.

Tambahnya, kedua-dua pemandu itu berjaya dikeluarkan dalam tempoh tujuh minit dengan menggunakan peralatan.

"Kedua-dua mangsa yang tersepit telah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan selanjutnya. Identiti mereka belum diketahui.

"Sementara itu, semua 15 penumpang bas iaitu pekerja kilang yang cedera ringan turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan," katanya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain