suria

KSN teliti keperluan penjawat awam bekerja dari rumah - Mohd Zuki

KSN akan menilai keperluan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam. Gambar hiasan

SUSULAN peningkatan mendadak angka harian kes Covid-19 sejak kebelakangan ini, kerajaan akan menilai keperluan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat Jemaah Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 dijangka naik mendadak - Khairy

"Kita (diperingkat KSN) akan meneliti perkara ini kerana sebarang keputusan perlu dibawa dan dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

"Kalau ia diputuskan oleh jawatankuasa, kita akan patuh. Kita akan sentiasa berwaspada terhadap peningkatan kes Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Corporate Social Responsibility) Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (Terengganu) bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada Sabtu.

Mohd Zuki menyeru kepada semua penjawat awam supaya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kes baharu Covid-19 di negara ini dijangka meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Khairy berkata, jangkaan tersebut berdasarkan kadar jangkitan yang tinggi daripada gelombang varian Omicron ketika ini.

Beliau juga berkata, majikan sangat digalakkan untuk meneruskan amalan bekerja dari rumah dalam usaha mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain