suria

Pengarah jabatan ditahan, salah guna kedudukan lulus tiket penerbangan untuk isteri, anak

Suspek ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

SEORANG pengarah sebuah jabatan ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya dengan meluluskan tiket penerbangan bagi isteri dan anaknya bernilai kira-kira RM6,000, sedangkan mereka tidak layak untuk kemudahan itu.

Menurut sumber, lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai melakukan kesalahan itu ketika berkhidmat sebagai pengarah di sebuah kolej awam di Tawau, antara 2017 hingga 2018.

Tambah sumber, suspek ditahan ketika hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur bagi membantu siasatan, kira-kira pukul 9 pagi Isnin.

Siasatan tersebut, menurut sumber, dijalankan oleh pasukan penyiasat dari SPRM cawangan Tawau.

Difahamkan, suspek menggunakan tiket kapal terbang itu bersama isteri dan anaknya ke Kuala Lumpur atas urusan kerja beberapa kali walaupun kelayakan sebenar suspek hanyalah setahun sekali.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, suspek dilepaskan dengan bon jaminan SPRM dengan seorang penjamin, dan akan didakwa di Mahkamah Tawau pada 24 Februari. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain