AKTIVIS terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irwan Ebit Lew berhadapan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. Ia susulan tiga laporan polis dibuat terhadapnya yang mana dua dilaporkan di daerah Tenom, Sabah dan satu di sekitar Semenanjung. ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew, isteri dipanggil ke Bukit Aman ARTIKEL BERKAITAN: Pendam hasrat sejak 2019, wanita ini kejar Ebit Lew di Kundasang... Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, laporan pertama terhadap Ebit Lew diterima di balai polis daerah Tenom pada Ogos tahun lalu. "Dia didakwa membuat gangguan seksual dengan menangkap gambar dan video lucah yang kemudiannya dihantar kepada pengadu. Lanjutan daripada itu, satu laporan polis juga dibuat oleh pengadu yang lain berhubung dakwaan kesalahan yang sama. "Berikutan daripada laporan-laporan itu juga, satu lagi laporan polis dibuat terhadapnya," jelasnya dalam sidang akhbar pada Jumaat. Menurut Abdul Jalil, kesemua kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac 2021 hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan berkaitan laporan di Tenom bertarikh 7 Ogos 2021 dan mangsa terlibat berumur antara 21 hingga 40 tahun. Tambahnya, keseluruhan tiga laporan polis telah diterima yang mana dua laporan disiasat atas kesalahan membuat penghantaran gambar lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang. Keseluruhannya, Ebit Lew akan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Terdahulu, pada Jumaat pagi, Ebit telah dituduh di Mahkamah Majisteret Tenom atas 11 pertuduhan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI