suria

Tragis... wanita sarat hamil 9 bulan, bayi terkeluar dari kandungan maut dalam nahas

Seorang wanita dan anak dalam kandungannya maut dalam nahas. Gambar kecil: Nor Haliza

TRAGIS apabila seorang wanita sarat hamil sembilan bulan dengan bayinya terkeluar dari kandungan, maut dalam kemalangan di Pasir Mas, Jumaat.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, nahas membabitkan dua motosikal di Kampung Banggol Stol, Repek.

Mangsa, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah sementara bayinya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seorang lagi remaja, Muhamad Shakim Mohd Zaki, 18, meninggal dunia pada pukul 10.45 malam semasa menerima rawatan di HPM.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, Nor Haliza yang sarat hamil sembilan bulan menunggang motosikal bersama anak perempuannya berusia enam tahun dengan mengekori suaminya untuk ke kedai runcit.

"Setiba di lokasi kejadian, Muhamad Shakim yang menunggang motosikal jenis Yahama Y-15 dipercayai telah memasuki laluan Nor Haliza menyebabkan berlaku pertembungan. Ketika itu, Nor Haliza menunggang motosikal jenis Honda Wave," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, Sabtu.

Menurutnya, kesan perlanggaran itu mengakibatkan Nor Haliza meninggal dunia dan bayi dalam kandungannya telah terkeluar.

Beliau berkata, ketika itu bayi tersebut masih lagi bernyawa dan kemudian dibawa ke HPM untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, seorang lagi anak mangsa, Nurul Iman Maisara Mohd Khairi mengalami kecederaan pada kepala, luka-luka di tangan dan muka.

Katanya, Nurul Iman Maisara kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi HPM.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain