suria

Kes Ebit Lew: “Biar undang-undang dilaksanakan seadil-adilnya”

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak membuat provokasi atau spekulasi berhubung kes tersebut.

KECOH warganet memperkatakan kes yang melibatkan Ustaz Ebit Lew, susulan pendakwah bebas terkenal itu didakwa di mahkamah atas 11 pertuduhan membabitkan gangguan seksual, pada Jumaat.

Justeru, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak membuat provokasi atau spekulasi yang akan mengganggu prosiding di mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Hadapi pelbagai pertuduhan termasuk gangguan seksual, Ebit Lew didakwa di mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Sebar gambar lucah... Ebit Lew boleh dipenjara maksimum 5 tahun

"Kita serahkan kepada pihak mahkamah untuk tentukan kes ini, biar undang-undang dilaksanakan dengan seadil-adilnya," katanya.

Sebelum ini, Abd Jalil berkata, siasatan yang dijalankan merangkumi pelbagai sudut termasuk kemungkinan berunsur fitnah.

"Kita membuat siasatan daripada pelbagai sudut selain daripada di bawah seksyen tersebut, kita juga melihat sama ada terdapat unsur fitnah atau tidak.

"Tetapi di akhir siasatan kita setelah dikumpulkan bukti yang nyata, inilah hasilnya tindakan-tindakan yang dibuat pada hari ini," katanya.

Tambah beliau, hasil siasatan dan berdasarkan bukti-bukti yang nyata, pendakwaan terhadap pendakwah bebas itu diteruskan.

"PDRM mengesahkan Ebit Lew telah dituduh di Mahkamah Majistret Tenom dengan sebanyak 11 pertuduhan telah dibuat terhadapnya di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan itu ialah membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah melalui aplikasi WhatsApp dengan maksud mengaibkan dan kesemua pertuduhan berlaku di Tenom antara Mac 2021 hingga Jun 2021 terhadap seorang wanita," katanya.

Media pada Jumaat melaporkan Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, dihadapkan ke Mahkamah Litar, Tenom, atas 11 pertuduhan membabitkan gangguan seksual.

Bagaimanapun, Ebit tidak mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan terhadapnya. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain