suria

Tommy Thomas nafi terima suapan untuk gugurkan kes dadah anak taikun

Bekas Peguam Negara, Tommy Thomas menafikan dakwaan yang dibuat si posting akaun Twitter Edisi Khas. Foto: YAP CHEE HONG/ The Star.

TOMMY Thomas menafikan dakwaan bahawa dia menerima rasuah ketika mengendalikan kes dadah melibatkan anak seorang taikun hartanah terkenal semasa menjadi peguam negara.

Penafian tersebut susulan satu posting di akaun Twitter, Edisi Khas, yang mendakwa dia telah menggugurkan tuduhan kesalahan dadah terhadap anak Tan Sri Vincent Tan.

Dalam surat yang dihantar kepada The Vibes pada Sabtu (19 Februari), Thomas berkata anak kepada ahli perniagaan itu telah ditangkap dan didakwa atas kesalahan berkaitan dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tommy Thomas letak jawatan Peguam Negara

"Seingat saya dalam kes ini, tertuduh iaitu anak kepada ahli perniagaan terkenal Vincent Tan ditangkap atas kesalahan dadah dan didakwa," tulisnya.

Menurut Thomas, dalam hal jenayah, peguam yang mewakili tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mempertimbangkan semula keputusan pertuduhan

"Surat-surat ini telah dibawa ke perhatian saya, atas keputusan saya.

"Setelah mengkaji representasi dan kertas penyiasatan, menyemak semula peruntukan undang-undang berkaitan dan berbincang dengan pegawai kes (semua timbalan pendakwa raya), saya ingat yang saya mengurangkan pertuduhan," katanya.

Tambah Thomas, memandangkan dia tidak mempunyai akses kepada sebarang dokumen dan fail yang diselia oleh pihak yang menyediakan kertas siasatan, dia tidak lagi berupaya mengemukakan sebarang perincian lanjut.

Tegas Thomas, beliau tidak pernah bersikap korup sepanjang kerjaya profesional dan kehidupan peribadinya.

"Integriti, kejujuran dan kebenaran adalah nilai yang berharga bagi saya. Malah, ia tidak boleh digugat, saya tidak pernah berkompromi mengenainya. Saya dengan keras menafikan tuduhan bahawa saya menerima rasuah ketika membuat keputusan ini," katanya.

Thomas juga berkata beliau tidak pernah mengenali Tan sebelum menjadi Peguam Negara, dan tidak pernah bertindak untuk pihak hartawan itu atau mana-mana syarikatnya.

Menurutnya, dia juga tidak pernah mewakili Tan sejak kembali menjadi pengamal undang-undang selepas tidak lagi menjadi Peguam Negara. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain