suria

Pembukaan sempadan negara dijangka pada suku kedua 2022 - Khairy

Sempadan negara dijangka dibuka pada awal suku kedua tahun ini, menurut Menteri Kesihatan, Khiry Jamaluddin. Gambar hiasan

SASARAN realistik untuk pembukaan semula sempadan negara adalah pada awal suku kedua tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

"Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pembukaan semula sempadan, dan terdapat beberapa peringkat perlu dilalui untuk diluluskan.

"Saya akan membentangkan SOP kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Kuartet Menteri Covid-19 yang diketuai oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

ARTIKEL BERKAITAN: MPN setuju syor sempadan negara dibuka sepenuhnya tanpa keperluan kuarantin wajib mulai 1 Mac - Muhyiddin

"Akhir sekali, saya akan membentangkannya kepada Kabinet untuk kelulusan. Sebab ia melibatkan polisi besar negara, kerana keputusan untuk membuka sempadan negara tidak boleh dibaut di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya selepas melawat klinik swasta yang menawarkan Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40) pada Sabtu (19 Februari).

Khairy menambah, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat oleh Perdana Menteri kelak.

"Saya jangka mungkin suku tahun kedua adalah satu garis masa realistik, tetapi tarikhnya biarlah Perdana Menteri yang menentukannya nanti," katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah mengesyorkan agar sempadan negara dibuka semula sepenuhnya menjelang 1 Mac.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembukaan semula sempadan adalah penting untuk memulihkan ekonomi negara khususnya sektor perniagaan dan pelancongan.

Pada Jumaat (18 Februari), Perdana Menteri Datuk Seris Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan diberi tempoh dua hingga tiga minggu untuk membentangkan cadangan dan prosedur operasi standard (SOP) kepada Kabinet bagi cadangan pembukaan semula sempadan negara. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain