SEORANG lelaki menemui ajal dalam keadaan tragis selepas badannya turut terbakar gara-gara tersepit akibat kereta yang dipandunya dipercayai terbabas. Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, kereta mangsa dipercayai terbabas sebelum terbakar di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Balai Undang Sungai Ujong di sini, awal pagi Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki nekad bakar diri, melecur 96 peratus meninggal dunia Ujarnya, kejadian lebih kurang pukul 4.50 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berumur 35 tahun dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah. "Siasatan awal mendapati sebaik mangsa tiba di lokasi, kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan dan melanggar tiang lampu jalan. "Akibat kemalangan, kereta tersebut mengalami kerosakan di bahagian hadapan sehingga mengakibatkan pemandunya tersepit dan gagal keluar dari kenderaan sebelum kenderaan tersebut terbakar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Menurut Nanda, mangsa turut terbakar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. "Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tujuan bedah siasat," ujarnya. Tambah Nanda, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI