suria

Bengang anak saudara dipulas telinga, lelaki bawa geng serang rumah mangsa

Pesara cedera diserang sekumpulan lelaki bersenjata parang.

AKIBAT tidak puas hati anak saudara dipulas telinga, sekumpulan lelaki termasuk bapa saudara remaja tersebut bertindak menyerang seorang pesara menggunakan parang, kayu dan besi.

Dalam kejadian pada Khamis itu, mangsa berusia 54 tahun dikatakan bersama anak lelakinya, 22, diserang ketika sedang turun daripada kereta di rumahnya di Kampung Wakaf Lanas, Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden berebut pam minyak... suspek pukul pemandu kereta dengan topi keledar direman 3 hari

ARTIKEL BERKAITAN: Sopan dengan pesakit, luar waktu kerja jururawat ini ‘pukul orang’ di gelanggang MMA - “Kami bukanlah lembut seperti disangka”

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di seluruh tubuhnya manakala anaknya mengalami kecederaan di bahagian jari kaki kelengkeng, jari tangan dan seluruh tubuh.

Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan mangsa yang bertindak memulas telinga anak saudara salah seorang suspek yang menyerangnya.

Beliau berkata, mangsa dikatakan bertindak sedemikian kerana berang dengan tindakan remaja berusia 14 tahun itu yang menunggang motosikal sambil membuat bising di hadapan rumahnya.

"Semasa kejadian, abang ipar mangsa kebetulan berada di situ turut membantu meleraikan pertelingkahan, namun didakwa turut dipukul dengan menggunakan kayu.

"Menurut mangsa, dia tidak mengenali semua suspek tersebut memandangkan mereka bukan berasal dari kampung berkenaan.

"Selepas memukul pengadu dan anaknya, kumpulan lelaki tersebut terus melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira warna merah dan beberapa buah motosikal," katanya.

Ediansha berkata, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa dan abang iparnya cuma mengalami kecederaan ringan pada bahagian tubuh.

Bagaimanapun katanya, anak mangsa dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berikutan kecederaan parah pada jari kaki kelengkengnya yang hampir putus akibat ditetak menggunakan pedang.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu empat suspek yang terlibat dalam kejadian itu untuk membantu siasatan. - Sinar harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain